Jangan biarkan tangan, saluran dan lidah pegawai kerajaan rosakkan institusi awam: Syed Ibra

Jangan biarkan tangan, saluran dan lidah pegawai kerajaan rosakkan institusi awam: Syed Ibra

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Zulkepli Osman

TEMERLOH: Kerajaan tidak sepatutnya terlepas pandang sehingga tercetus kontroversi penggunaan istilah militan yang merujuk kepada kumpulan Hamas berkaitan serangan udara Israel terhadap Palestin dalam siaran berita TV berbahasa Mandarin di saluran RTM, baru-baru ini.

  Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, meskipun bukan terbabit secara langsung, stesen TV kerajaan itu adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.

  “Mungkin mereka (Bahagian Berita Mandarin TV2) mempunyai pandangan tidak betul mengenai Israel atau mempunyai pengetahuan yang betul, tetapi hati mereka tidak suka dengan isu yang diperjuangkan orang Palestin dan Gaza.

  “Tidak kira (apakah) sebabnya, kedua-dua punca ini sebenarnya satu kesilapan besar daripada kepimpinan kita (Kerajaan Pusat)… apa sebab pula hal di dalam rumah tangga kita dan dalam genggaman kita boleh terlepas pandang sehingga mereka sanggup bercakap tidak sealiran dengan kita,” katanya.

  Beliau berkata demikian kepada Fikrah Pahang di sini, semalam. 

  Kelmarin, tular di media sosial mengenai laporan berita di siaran TV berbahasa Mandarin menggunakan istilah militan merujuk kepada kumpulan pejuang Palestin iaitu Hamas.

  Berikutan itu, Editor Meja Mandarin dan Ketua Editor Berita Mandarin TV2, RTM dipanggil memberikan penjelasan berhubung perkara itu, semalam.

  Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dipetik berkata, beliau mengarahkan siasatan dan tindakan lanjut diambil serta meminta mereka yang terbabit, menyediakan laporan lengkap.

  Difahamkan, pegawai terbabit juga dikenakan Surat Tunjuk Sebab (STS) dan siasatan lanjut sedang dilaksanakan pihak pengurusan.

  Mengulas lanjut, Syed Ibrahim yang juga Ketua Penerangan UMNO Pahang berkata, pegawai terbabit seharusnya menjadikan perkara itu sebagai iktibar supaya ia tidak lagi berulang pada masa depan.

  “Kita tidak minta dia (pegawai terbabit) jadi pejuang, tak payahlah, biar kita saja. Kita juga tak minta dia pergi ke Palestin, tapi kita minta dia jagalah tangan dia, ‘channel’ (saluran) dia, lidah dia supaya jangan dia berkata benda yang boleh merosakkan diri dia sendiri dan merosakkan institusi kerajaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *