Pencerobohan nelayan Vietnam makin berleluasa, 23 BNA ditahan di perairan Pahang

Pencerobohan nelayan Vietnam makin berleluasa, 23 BNA ditahan di perairan Pahang

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Jabatan Perikanan Pahang menahan 23 bot nelayan asing (BNA) Vietnam dalam tempuh lima tahun sejak 2016.

  Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, jumlah terbanyak BNA ditahan pada 2019 membabitkan 10 bot diikuti enam bot (2020), tiga bot (2017) dan masing-masing dua bot (2016 dan 2018).

  Menurutnya, dalam tempoh lima bulan tahun ini, dua BNA  Vietnam berjaya ditahan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di kawasan 51 batu nautika di perairan Kuala Pahang, Pekan, dan seramai 20 tekong dan awak-awak ditahan.

  Katanya, jabatan sentiasa tegas menjalankan penguatkuasaan Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan (MCS) di kawasan perairan negeri ini yang sentiasa menjadi tumpuan nelayan asing menceroboh untuk menangkap ikan.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar.

  “Hampir semua kes nelayan asing yang ditahan mengetahui mereka melakukan kesalahan berada dalam perairan negeri ini, namun disebabkan faktor hasil tangkapan banyak mereka sanggup melakukannya.

  “Mereka sebenarnya mengetahui hukuman berat yang bakal diterima sekiranya ditangkap, namun mereka hanya bergantung sepenuhnya kepada nasib,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

  Beliau berkata, kebanyakan kes BNA yang dikesan memaksa bot Cawangan Perlindungan Sumber mengejarnya beberapa kilometer sebelum berjaya memberkas mereka bersama hasil tangkapan pelbagai jenis ikan.

  Abdullah berkata, nelayan asing yang menangkap ikan tanpa lesen atau permit di perairan negara ini boleh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.

  Katanya, jika sabit kesalahan tekong boleh didenda RM6 juta, manakala awak-awak didenda RM600,000 dan sekiranya gagal membayar denda, mereka boleh dipenjara sehingga enam bulan.

  “Kebanyakan kes BNA menggunakan pukat ganding yang juga satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980.

  “Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan kesalahan membabitkan aktiviti menangkap ikan secara haram. Hukuman berat menanti pihak terbabit,” katanya yang berharap nelayan tempatan dapat bekerjasama memberi maklumat pencerobohan nelayan asing di perairan Pahang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *