MUIP sumbang bantuan banjir kilat RM13,400 kepada 67 keluarga

MUIP sumbang bantuan banjir kilat RM13,400 kepada 67 keluarga

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

TEMERLOH: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyumbang wang tunai RM13,400 kepada 67 keluarga mangsa banjir Kampung Batu Kapor, Mentakab, dekat sini, semalam. 

  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, semua mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor selepas rumah mereka dinaiki air petang kelmarin.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman menyampaikan bantuan bencana kepada mangsa banjir Kampung Batu Kapor, Mentakab, yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor.

  Katanya, difahamkan hujan lebat yang berlaku di daerah Bentong petang kelmarin menyebabkan berlaku limpahan air Sungai Semantan di Kampung Batu Kapor.

  Menurutnya, semua mangsa 

terpaksa menyambut Aidilfitri di PPS selepas rumah mereka dinaiki air, kawasan paling teruk dilanda banjir air paras  pinggang iaitu di kawasan yang paling rendah.

  “Bencana yang berlaku telah mendapat perhatian KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Tuanku Yang Dipertua (YDP) MUIP.

  “Setiap ketua keluarga menerima RM200 yang diharap dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung,” katanya selepas menyampaikan bantuan berkenaan.

  Beliau berkata, kejadian banjir itu menyebabkan mangsa terpaksa menyambut Aidilfitri bersama keluarga di PPS dalam suasana yang amat memilukan.

  Dr Asmadi berkata, rata-rata mangsa banjir yang ditemui tidak menyangka Aidilfitri kali ini mereka terpaksa beraya di PPS selepas rumah masing-masing dimasuki air yang melimpahi tebing Sungai Semantan.

  Tinjauan mendapati PPS SK Batu Kapor ditutup sepenuhnya selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *