Tabik Cikgu! Lelaki OKU lakar kecemerlangan berganda sebagai pendidik anak bangsa

Tabik Cikgu! Lelaki OKU lakar kecemerlangan berganda sebagai pendidik anak bangsa

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

BENTONG: Segala kata-kata hinaan dan cacian yang diterima disebabkan berstatus orang kelainan upaya  (OKU) menjadi pembakar semangat  lelaki berusia 45 tahun ini untuk melakar kejayaan dalam bidang perguruan.

Cikgu Mohd Huzaire Ahmad mengajar murid bermain alat muzik di SK Felda Mempaga 2, Bentong.

  Tanpa mempedulikan pandangan jelik terhadapnya, guru muzik Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mempaga 2, di sini, Mohd Huzaire Ahmad, membuktikan kepada dunia bahawa kekurangan bukan halangan untuk dia melakarkan kejayaan.

  Anak jati Pahang itu membuktikan beliau mampu berkhidmat dengan cemerlang apabila meraih tujuh anugerah dalam tempoh 20 tahun perkhidmatannya sebagai pendidik walaupun hanya bergerak menggunakan kerusi roda.

  Katanya, episod kecatatan kekal terjadi selepas dia terjatuh pokok rambutan setinggi dua meter  menyebabkannya dirinya lumpuh daripada paras pinggang ke bawah.

  “Pada waktu itu saya hampir hilang semangat, saya diberikan peluang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk  menyambung semula pengajian di Maktab Perguruan Persekutuan di Pulau Pinang yang tertangguh beberapa bulan disebabkan saya lumpuh.

  “Saya masih ingat Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, datang ke rumah saya bagi memberi kata-kata semangat dan mengarahkan saya meneruskan pengajian seterusnya bergelar seorang guru.

  “Alhamdulillah bertitik tolak dari situ saya bangkit mengejar cita-cita dan hari ini saya berjaya buktikan insan OKU mampu bergelar guru,” katanya.

  Beliau berkata, banyak cabaran dilalui di peringkat awal bergelar guru, tanpa kemahiran berkerusi roda dia diperkecilkan rakan setugas. Tekanan berganda itu menjadi motivasi untuk dia lebih kuat dan bersemangat.

  Mohd Huzaire menambah, berkat kesabaran dia meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat negeri dan kebangsaan, antaranya 

anugerah perkhidmatan

cemerlangan.

  Katanya, penghargaan lain diterima ialah Anugerah Khas Hari Guru 2005; Anugerah Guru Inovatif 2007; Anugerah Khidmat Cemerlang Pendidikan 2008 dan 2018; Anugerah Cenderawasih Pahang 2009; Anugerah Guru OKU Cemerlang 2010 serta anugerah khas sempena Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis 2015.

  Menurutnya, sebagai insan istimewa terlalu banyak cabaran dan dugaan terpaksa dihadapi yang menguji kesabaran, di sebalik kepayahan bergerak menggunakan kerusi roda tugas mendidik anak bangsa tetap dilakukan sebaiknya.

  “Saya tetap berbangga dapat mendidik lebih 10,000 murid sepanjang perkhidmatan setakat ini. Yang penting anak didik saya mampu menjadi insan berguna pada masa akan datang, itu sudah cukup membanggakan saya.

  “Saya berbangga apabila bekas murid berjaya terutama dalam bidang seni, antara lain Mohd Aniq Ruzaimi yang kini bergelar artis.

  “Sokongan isteri, Siti Nor Azizah Mohd Noor Yusoff, keluarga dan rakan setugas menambah kesungguhan saya melaksana tugas diamanahkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *