Mana ada polis buat rondaan berskala besar

Mana ada polis buat rondaan berskala besar

Oleh Izzah Yusoff

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Zulkepli Osman

KUANTAN: Polis menafikan dakwaan segelintir individu di media sosial kononnya pasukan beruniform itu melakukan rondaan berskala besar di daerah ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan perumahan Seri Kemunting di sini bermula tengah malam tadi hingga 30 Mei ini.

KUANTAN 17 MEI 2021. Anggota keselamatan diberi taklimat sebelum laksana  Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Perkampungan Seri Kemunting, Kuantan yang bermula 17 hingga 30 Mei. Gambar Fikrah Pahang Zulkepli Osman

  Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dakwaan seperti itu boleh menimbulkan keresahan dan suasana panik dalam kalangan penduduk sekali gus menyukarkan petugas barisan hadapan menjalankan tanggungjawab masing-masing.

KUANTAN 17 MEI 2021. Anggota keselamatan melakukan sekatan di laluan masuk ke Perkampungan Seri Kemunting yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD)  bermula 17 hingga 30 Mei 2021.  Gambar Fikrah Pahang Zulkepli Osman

  “Individu yang melakukan hebahan itu berniat tidak baik dan ia satu perbuatan tidak bertanggungjawab. Saya minta supaya hentikanlah… jangan menimbulkan kegusaran masyarakat.

  “Dari segi rondaan memang dari dulu lagi kita sudah buat, apatah lagi ketika penularan pandemik COVID-19. Pihak IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kuantan ada enam pasukan pemantau daripada cawangan dan 10 pasukan daripada balai.

  “Kita ada 16 peronda dan selain rondaan berkaitan COVID-19, kita membuat rondaan cegah jenayah kerana walau keadaan apa pun di negara kita atau daerah kita,” katanya kepada Fikrah Pahang selepas meninjau keadaan di Seri Kemunting berikutan pelaksanaan PKPD, malam tadi. 

  PKPD di Seri Kemunting membabitkan sebanyak 250 kediaman yang didiami kira-kira 1,000 penduduk.

  Kawasan perumahan itu adalah yang ketiga dikenakan PKPD di daerah iniselepas Taman Guru dan Tanah Puth Baharu.

  Mengulas lanjut, Mohamad Noor memuji sikap penduduk Seri Kemunting yang akur dan tenang berdepan pelaksanaan PKPD.

  “Sebaik mendapat maklumat dan sebelum kenyataan kawasan ini dikenakan PKPD keluar, kita sudah pun membuat pemantauan. Kita ada peronda yang akan membuat rondaan bagi memastikan penduduk di Seri Kemunting ini tidak melarikan diri.

  “Daripada pemantauan yang kita buat dari rumah ke rumah, kita dapati penduduk tidak meninggalkan rumah masing-masing. Dari apa yang saya lihat, penduduk di sini tenang dan bersedia dan tidak bertindak keluar daripada kawasan ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *