Penjawat awam culas SOP dikompaun serta-merta

Penjawat awam culas SOP dikompaun serta-merta

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Zulkepli Osman

KUANTAN: Seorang penjawat awam menerima pengajaran sepatutnya apabila dikenakan kompaun serta-merta selepas dikesan gagal mendaftarkan butiran peribadi menerusi aplikasi MySejahtera ketika masuk ke premis tempat kerjanya di Kompleks Tun Razak (KOMTUR) di Indera Mahkota, di sini, hari ini.

  Lelaki itu dikesan melakukan kesalahan berkenaan oleh Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali yang kebetulan melakukan pemantauan di bangunan berkenaan petang tadi.

  Mohamad Noor berkata, polis terpaksa bertindak tegas kerana kecuaian penjawat awam berkenaan boleh membahayakan orang lain, apatah lagi ketika ini penularan COVID-19 di daerah ini semakin membimbangkan.

  “Ketika tiba di bangunan ini tadi, saya terserempak dengan penjawat awam terbabit dan bila ditanya dia kata sedang bercuti, tapi jika cuti sepatutnya duduklah di rumah, jangan berada di sini.

  “Kecuaiannya walaupun cuma seorang, boleh membahayakan orang lain, tempat ini banyak pejabat kerajaan yang melaksanakan kepentingan negeri dan negara… maknanya kalau ada yang cuai, kita terpaksa ambil tindakan,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan ke beberapa pejabat kerajaan di sini, hari ini.  

  Mengikut ketetapan, kesalahan ringan seperti tidak memakai pelitup muka, gagal menjaga penjarakan fizikal dan tidak mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau merekod butiran diri ketika memasuki premis, boleh dikenakan kompaun RM1,500.

  Mohamad Noor berkata, pihak polis tidak ‘pilih bulu’ dan akan mengeluarkan kompaun kepada sesiapa sahaja yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19, termasuk penjawat awam.

  Katanya lagi, polis akan terus menjalankan aktiviti pemantauan dari semasa ke semasa baik di premis kerajaan mahupun swasta di daerah ini bagi memastikan segala SOP dapat dipatuhi.

  “Keputusan ini diambil selepas mesyuarat Task-Force COVID-19 hari ini bagi mengekang penularan pandemik ini kerana keadaan semakin kritikal di Kuantan dan jika semua SOP dipatuhi, keadaan kritikal ini boleh berubah kepada baik dan seterusnya pulih seperti sedia kala.

  “Saya juga berharap pengawal keselamatan lebih tegas mengawal dan memastikan orang ramai yang keluar masuk premis tidak melanggar SOP, manakala setiap jabatan elok menyediakan pengimbas kod QR serta pengimbas suhu di pejabat masing-masing, bukan hanya di pintu masuk bangunan sahaja,” katanya.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *