Seronoknya berhari raya dengan dapur baru

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

PEKAN: “Aidilfitri minggu lalu lebih bermakna buat saya apabila berpeluang memasak di dapur baharu yang lebih selesa.

  “Bahagian dapur rumah diperbuat daripada kayu itu berusia lebih 100 tahun dan begitu uzur sebelum ini,” kata warga emas, Robiah Mohamad, 71.

  Dia yang menetap di Kampung Permatang Pauh, di sini, antara penduduk bertuah di kampung berkenaan yang menerima bantuan baik pulih sebanyak RM10,000 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Permatang Pauh, Mohd Nasrul Hakim Mat Daud melihat dapur baharu di rumah warga emas, Robiah Mohamad.

   Menurut ibu kepada dua cahayamata itu, keadaan dapur  rumahnya sebelum ini begitu uzur dan tidak selamat terutama selepas banyak kayu reput disebabkan faktor usia yang terlalu lama.

  Katanya, dia seolah-olah tidak percaya dan bermimpi apabila pegawai MUIP berjumpanya  sebelum ini menyatakan dapur rumahnya akan dibaiki bagi memberi lebih keselesaan.

  “Lebih manis lagi apabila kesudian KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah 

berkunjung ke rumah saya sambil minum petang.

   “Tuanku amat prihatin dengan kesusahan rakyat jelata, saya difahamkan sokongan Tuanku melayakman saya menerima bantuan baik pulih dapur rumah,” katanya amat bersyukur dengan apa yang diterima.

  Robiah berkata, tanpa bantuan MUIP, dia tidak mampu untuk membaiki dapur rumahnya yang kini lebih selesa untuk memasak berbanding sebelum ini. 

  Menurutnya, pendapatanya kini hanya bergantung pada wang pencen arwah suaminya sebanyak RM450 sebulan.

  Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Permatang Pauh, Mohd Nasrul Hakim Mat Daud berkata, seramai lima penduduk Kampung Permatang Pauh menerima bantuan baik pulih rumah daripada MUIP.

  “Saya bertanggungjawab membuat permohonan bantuan daripada MUIP yang sentiasa berusaha memberi bantuan kepada golongan asnaf di negeri ini.

  “Bantuan diberikan MUIP dapat meringankan beban golongan berkenaan yang rata-rata terdiri daripada warga emas dan berpendapatan rendah,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *