Lee Tuck dipinjamkan kepada Terengganu FC sehingga tamat musim 2021

Lee Tuck dipinjamkan kepada Terengganu FC sehingga tamat musim 2021

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Sri Pahang FC mengesahkan pemain import pasukan itu, Lee Tuck dipinjamkan kepada Terengganu FC (TFC) pada jendela perpindahan pemain kedua saingan Liga Super musim ini.

  Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Dato’ Mohammed Suffian Awang berkata, keputusan meminjamkan Tuck atas persetujuan kedua-kedua kelab.

Pemain import Sri Pahang FC, Lee Tuck dipinjamkan kepada Terengganu FC (TFC).

  Katanya, pihaknya percaya Tuck dapat mempamerkan prestasi terbaik bersama TFC sebelum kembali bersama Sri Pahang musim depan.

  “Sebenarnya, Tuck menandatangani kontrak bersama Sri Pahang selama dua musim dan keputusan meminjamkan Tuck selepas pasukan mengambil empat import baharu sebaik jendela perpindahan pemain dibuka,” katanya.

  Sebelum ini, Tuck dikatakan dilamar tiga pasukan selepas diketepikan sebaik jendela perpindahan pemain dibuka 3 Mei lalu.

  Lamaran itu diakui ketua jurulatih pasukan, Dollah Salleh kerana Sri Pahang merancang untuk meminjamkan pemain kelahiran England itu.

  Sebaik jendela perpindahan pemain, skuad Tok Gajah Sri membuat keputusan mengetepikan empat pemain import yang ditandatangani awal musim ini.

  Mereka yang diketepikan ialah Tuck, Yevhen Bokhashvili (Ukraine), Mamadou Wague (Lubnan) dan Pedro Henrique (Timor Leste).

   Sri Pahang kemudiannya menyenaraikan Aung Kaung Mann dari Myanmar, Manuel Hidalgo (Argentina), Abubakar Yakubu (Ghana) dan Kenny Athiu (Australia).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *