Ditemui tidak bernyawa di rumah, wanita warga emas korban ke-46 COVID-19 di Pahang

Ditemui tidak bernyawa di rumah, wanita warga emas korban ke-46 COVID-19 di Pahang

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: Wanita warga emas menjadi korban ke-46 COVID-19 di negeri ini apabia ditemui tidak bernyawa di rumahnya di Mukim Sungai Karang di sini, awal pagi tadi.

  Difahamkan, mangsa yang berusia 65 tahun, meninggal dunia kira-kira jam 5 pagi dan keputusan ujian PCR diperoleh selepas kematian adalah positif COVID-19.

  Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memaklumkan, mangsa dikenal pasti sebagai kontak rapat kes positif P6002 dan sudah menjalani ujian saringan pada 15 Mei lalu. 

  “Kes (mangsa) mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi. Punca kematian adalah COVID-19 dan jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan COVID-19 Hutan Setali, Kuantan,” katanya.

  Sementara itu, JKNP berkata, sebanyak 157 kes baru dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Pahang kini sebanyak 7,121 kes. 

  “Kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 1,083 kes. Terdapat 150 kes sembuh harian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 5,992 kes manakala jumlah kematian adalah 46 kes,” katanya.

  JKNP berkata, dua kluster baru iaitu Kluster Jalan Dara dan Kluster Sri Tanjung dikesan, masing-masing di Maran serta Bentong.

  “Kluster Jalan Dara dikesan 20 Mei lalu dan ia merujuk kepada lokaliti dihadiri kes indeks di Taman Jengka Mahkota, Maran, apabila disyaki berlakunya penularan ketika kes indeks hadir untuk menyambut Aidilfitri.

  “Kes adalah warga Malaysia dan disahkan positif pada 17 Mei menerusi hasil saringan bergejala demam dan batuk. Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 19 individu disaring dan 11 daripadanya positif,” katanya.

  Menurutnya, Kluster Sri Tanjung pula merujuk kepada lokaliti tempat tinggal kes di Jalan KL Lama-Bentong, yang mana disyaki berlakunya penularan ketika kes indeks berada di situ dan mempunyai kontak dengan ahli keluarga lain. 

  “Kes pertama bagi kluster ini adalah rakyat tempatan tinggal di Jalan KL Lama iaitu di Jalan Sri Tanjung. Siasatan lanjut mendapati kes mendapat jangkitan daripada ahli keluarganya yang mengalami gejala demam dan selesema pada 13 Mei.

  “Ahli keluarga berkenaan menjalani saringan pada 17 Mei dan keputusan adalah positif. Susulan itu, kes dan ahli keluarga lain menjalani saringan sebagai kontak rapat dan dikesan positif.

  “Sehingga tengah hari tadi, seramai 47 individu iaitu kontak rapat kes disaring dan 17 daripadanya dikesan positif COVID-19,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *