‘Hatiku tersentuh mendengar takbir di pagi raya, namun apakan daya duniaku kini gelap-gelita

‘Hatiku tersentuh mendengar takbir di pagi raya, namun apakan daya duniaku kini gelap-gelita

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

PEKAN: “Dalam kegelapan ini saya tidak boleh terlalu bergantung kepada bantuan, tenaga yang ada perlu digunakan dengan sebaik mungkin.

  “Saya melakukan pelbagai kerja untuk menyara keluarga, antaranya menternak kelulut dan kini menjual pakaian terpakai,” kata Nordin Awang, 57.

  Dia yang menetap di Kampung Batu 8 Lepar, Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini berkata, sebelum ini dia pernah menternak ikan puyu dan keli selain membekalkan benih pokok durian namun disebabkan beberapa masalah projek berkenaan terhenti.

  Menurutnya, dengan bantuan isteri, Sabariah Harun dan anak perempuannya, dia tidak pernah berputus asa dan kecewa menjalankan apa juga perniagaan demi kelangsungan hidup bersama keluarga.

  “Saya dilahir normal namun episod hilang penglihatan berlaku sejak kira-kira tujuh tahun lalu disebabkan kerosakan saraf belakang mata kronik. 

  “Sebelum ini saya mampu melihat walaupun dalam keadaan kabur namun kini mata saya tidak dapat digunakan lagi. Doktor pakar mata Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan yang merawatnya tidak dapat membantu,” katanya yang sebelum ini memiliki kemahiran membuat rumah.

  Beliau berkata, sebelum masalah penglihatan serius berlaku dia bertugas sebagai bilal di Masjid Al Muhajirin, Kampung Batu 8 Lepar dan setiap kali Aidilfitri, tugas utama ialah melaungkan takbir di pagi 1 Syawal bersama jemaah lain.

  Nordin berkata, setiap kali terkenang suasana di pagi Aidilfitri hatinya tersentuh apatah lagi tugas yang sepatutnya dipikul sehingga ke hari ini tidak dapat diteruskan walaupun keinginan begitu menebal. 

  “Saya reda dengan ketentuan Ilahi yang menguji keimanan dan kekuatan semangat,  kesukaran dihadapi perlu diharungi dengan rasa syukur.

  “Pasti ada hikmah ujian yang diterima ini dan saya tidak boleh mengeluh kerana itu adalah pemberian Yang Maha Esa,” katanya yang kini menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

  Beliau menambah, dengan modal lebih RM1,400 dia sebelum ini mempunyai tujuh sarang kelulut yang mampu 

memberi hasil RM100 hingga RM150 sebulan.

  Namun katanya, baru-baru ini tiga sarang kelulutnya dicuri yang menyebabkan hasil jualan madu semakin berkurangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *