Popaleh weh… beso amat kucing aok

Popaleh weh… beso amat kucing aok

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

TEMERLOH: Memiliki 10 ekor   kucing bersaiz besar yang berbulu lebat dengan berat antara tiga hingga 10 kilogram (kg) setiap seekor menjadi kepuasan buat Rohana Md Gani.

  Pesara jabatan kerajaan berusia 59 tahun itu berkata,  kepuasan dikelilingi kucing bersaiz besar dapat dirasakan apabila haiwan terbabit sentiasa manja dan mesra walaupun kelihatan garang serta ganas.

  “Saya tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang lebih lima tahun tinggal sebumbung dengan haiwan terbabit, malah kesunyian terubat apabila melihat pelbagai aksi dipamerkan kucing,” katanya.

  Ibu kepada empat anak itu berkata, minat mendalam ke atas kucing membolehkan dia selesa tinggal bersama haiwan bersaiz besar itu walaupun terpaksa menyediakan peruntukan lebih RM800 sebulan untuk membeli makanan dan pasir.

  Katanya, penjagaan dan makanan menjadi faktor utama kucing kacukan baka import dan tempatan miliknya menjadi besar dan berbulu lebat dua hingga empat kali ganda berbanding kucing biasa.

  “Saya memberi makan sekali hingga dua kali sehari menggunakan makanan import, walaupun harganya agak mahal dan membebankan, namun kualitinya amat baik.

  “Semua kucing saya mempunyai nama seperti Oyen, Putih, Omel, Adik dan Tiger. Sebahagian dikurung dalam sangkar dan ada juga tinggal dalam bilik khas. Pada waktu malam semua haiwan berkenaan dilepaskan di dalam rumah,” katanya yang tinggal di Taman Setiajasa, di sini.

  Rohana berkata, bermula dengan seekor kucing pemberian rakan anaknya tiga tahun lalu, haiwan berkenaan membiak sehingga kini menjadi 10 ekor dan semua kucingnya dikasi bagi menghalang pembiakan.

  Beliau berkata, anak bongsunya, Siti Aisyah Nazihah Sulaiman turut meminati kucing dan sama-sama menjaga haiwan manja terbabit.

  “Saya melayan semua kucing seperti anak sendiri, makan dan minum sentiasa diberi perhatian. Apabila tidak sihat rawatan dan ubat perlu diberikan segera bagi mengelak menjadi bertambah buruk.

  “Saya rela berlapar asalkan sembilan kucing besar peliharaan saya mendapat makanan yang secukupnya, sifat kasih sayang dan tanggungjawab terhadap haiwan sentiasa tersemat dalam diri ini.

  “Penjagaan kebersihan dengan memandikan haiwan terbabit perlu dilakukan apabila keadaan memerlukan kerana dengan cara itu kesihatan kucing akan lebih terjamin.

  “Sebahagian wang persaraan saya setiap bulan digunakan untuk menguruskan kucing. Saya tidak pernah berasa rugi malah berbangga rezeki dapat dikongsi dengan haiwan itu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *