Berniaga roti tempayan hanya untuk bersedekah

Berniaga roti tempayan hanya untuk bersedekah

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Melihat seorang penuntut universiti hanya mampu membayar makanan dimakan 30 sen sahaja menguatkan semangat seorang peniaga menyediakan hidangan sarapan pagi berkonsepkan ‘ikut suka berapa nak bayar’.

  Peniaga berkenaan, Badrul Jamili Kamaruddin, 48, yang mengusahakan Restoran Dapur Infaq Ummah berkata, konsep itu bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah dan asnaf bersarapan pagi setiap hari.

Badrul Jamili Kamaruddin menyediakan  sebanyak 150 roti tempayan setiap hari berkonsepkan ‘ikut suka berapa nak bayar’.

  Katanya, pelanggan boleh makan apa sahaja makanan dan membayar seikhlas hati dengan memasukkan wang ke dalam tabung disediakan di kaunter bayaran.

  Menurutnya, sejak beroperasi tiga tahun lalu di Kompleks Dagangan Indera Mahkota, di sini, sambutan diterima begitu menggalakkan apabila setiap hari dia menyediakan sebanyak 150 roti tempayan.

Setiap hari lebih 100
pelanggan menikmati sarapan pagi di Restoran Dapur Infaq Ummah.

  “Walaupun berkonsepkan bayar seikhlas hati, namun purata setiap hari saya mampu meraih pendapatan RM750 hingga RM900 dan tidak pernah menanggung kerugian,” katanya.

  Menurutnya, beliau bersyukur kerana dapat membantu golongan memerlukan terutama asnaf dan penuntut institusi pengajian tinggi yang tidak cukup perbelanjaan harian.

  “Sejak beroperasi kini terdapat lebih 100 pelanggan tetap pelbagai peringkat umur dan kerjaya termasuk pesara yang hampir setiap minggu datang untuk menikmati sarapan pagi.

  “Saya perhatikan terdapat kumpulan pesara yang datang ke Restoran Dapur Infaq Ummah lebih kepada ingin menderma. Mereka mendakwa sambil makan mereka dapat bersedekah untuk golongan memerlukan. Biasanya mereka memasukkan RM50 dalam tabung selepas makan.

  “Hasil pendapatan setiap hari selepas ditolak modal dan gaji empat pekerja saya akan kumpul untuk digunakan bagi menjayakan program sumbangan makanan kepada asnaf, pelajar dan gelandangan,” katanya.

  Badrul Jamili berkata, beliau bercadang membuka dua lagi cawangan Restoran Dapur Infaq Ummah di Kuantan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

  Katanya, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beliau terpaksa menutup sementara premisnya, walaupun ramai pelanggan rindukan hidangan roti tempayan yang dimakan dengan kari kambing atau ayam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *