Hasilkan inovasi katil untuk pesakit di rumah

Hasilkan inovasi katil untuk pesakit di rumah

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

JERANTUT: Inovasi katil pesakit menggunakan kawalan butang dihasilkan pasangan suami isteri di Felda Jengka 12, dekat sini, dapat memudahkan pesakit yang tidak dapat bergerak.

Zamilah Hamzah cuba menggunakan kawalan butang pada katil pesakit yang dihasilkan di rumahnya di Jengka 12, Jerantut.

  Mohd Amiruddin Fauzi, 44, dan isterinya, Zamilah Hamzah, 41, menghasilkan katil itu tujuh tahun lalu selepas melakukan kajian dan ujian dalam bengkel diusahakan mereka.

  Menurut Zamilah, pengalaman suami yang pernah mengikuti latihan dalam bidang kimpalan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Selangor dan pengajian dalam bidang sama di Jepun, menambahkan lagi kemahiran dimiliki.

Mohd Amiruddin Fauzi sedang menghasilkan katil pesakit menggunakan kawalan butang di rumahnya di Felda 12, Jerantut.

  “Sebelum ini dia (Mohd Amiruddin) hanya menghasilkan katil biasa yang boleh dilaras kedudukan pada bahagian kepala pesakit secara manual, namun selepas itu dia perbaiki ciptaannya dengan memperkenalkan butang kawalan.

  “Dengan inovasi ini, pesakit boleh melaraskan sendiri kedudukan bahagian kepala mereka untuk keselesaan dan ia lebih mudah dikendalikan,” katanya.

Mohd Amiruddin Fauzi dan isterinya, Zamilah Hamzah, menghasilkan katil pesakit menggunakan kawalan butang di rumah mereka di Jengka 12, Jerantut.

  Beliau berkata, permintaan terhadap katil pesakit dihasilkan sangat menggalakkan dan setiap bulan, mereka boleh menjual antara lima hingga 15 unit katil jenis itu.

  Katanya, hasil inovasi berkenaan turut mendapat pengiktirafan apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Pingat Emas sempena Hari Inovasi Felda Wilayah Jengka 2019.

  “Katil ini dijual pada harga RM700 bagi versi manual dan RM1,300 bagi automatik, tanpa tilam dan bantal.

  “Setiap unit mampu menampung berat sehingga 100 kilogram dan biasanya dibeli oleh pelanggan dari beberapa negeri seperti Selangor dan Johor,” katanya.

  Sementara itu, Mohd Amiruddin berkata, setiap unit katil boleh disiapkan dalam masa seminggu, termasuk kerja mengecat yang dibantu empat pekerjanya.

  “Katil ini dapat meringankan beban ahli keluarga menjaga pesakit angin ahmar dan mereka yang baharu bersalin,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *