Sanggup belanja besar untuk dapatkan burung kakaktua terbaik

Sanggup belanja besar untuk dapatkan burung kakaktua terbaik

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Sifat burung kakaktua yang manja dan jinak serta menarik menjadi pendorong kuat pada peminatnya sehingga sanggup berbelanja besar mencecah RM150,000 bagi memiliki seekor burung berkenaan.

  Ini diakuikan Dato’ Samsu Anuar Nawi, 52, yang menyataksn, apabila terlalu minat, soal wang tidak menjadi penghalang walaupun ada pihak menganggap ia merugikan.

Dato’ Samsu Anuar Nawi kini memiliki dua ekor burung kakaktua spesies Parrot Kelabu Afrika.

  Menurutnya, harga burung kakaktua mengikut spesies dan kebanyakannya dijual di peringkat anak.

  Katanya, ada beberapa individu di negara ini membiakkan anak burung berkenaan secara semulajadi dalam kurungan.

  Beliau yang kini memiliki tiga burung kakaktua spesies Parrot Kelabu Afrika dan Sun Parakeet berusia satu hingga dua tahun yang dibeli dengan harga lebih RM6,000.

Tengku Nursyuhada Tengku Badarishah bersama dua burung kakaktua spesies Sun Parakeet.

  “Sifat manja, jinak dan kebolehan bercakap menjadi pendorong kuat untuk saya mengambil keputusan memiliki burung kakaktua yang dibekalkan seorang rakan yang terbabit dengan aktiviti membiak burung jenis itu.

  “Saya berasa terhibur dan tenang apabila pulang ke rumah disambut burung kakaktua yang begitu manja dan jinak sambil berbunyi sehingga penat bekerja seharian hilang apabila dapat bermain dengan burung dalam masa 15 hingga 30 minit.

  “Burung kakaktua perlu sentiasa dibelai bagi memastikan ia sentiasa manja dan mesra dengan pemiliknya termasuk ahli keluarga,” katanya.

  Beliau yang juga penasihat kelab Tok Gajah Parrot berkata, sebelum ini, harga burung kakaktua mahal kerana diimport dari beberapa negara di Amerika Selatan. Namun, kini harganya semakin turun selepas ia berjaya dibiak di negara ini.

  Samsu Anuar berkata, jangka hayat burung jenis berkenaan panjang dan mudah dijaga. Ia tidak mudah dijangkiti penyakit kerana memiliki daya ketahanan melawan penyakit yang tinggi.

  Bagi Tengku Nursyuhada Tengku Badarishah, 33, dia mempunyai empat burung kakaktua jenis Eclectus dan Sun Parakeet yang dibela sejak dua tahun lalu selepas membelinya dengan harga lebih RM3,000.

  “Saya dan suami mempunyai minat yang sama dan kami tidak ada masalah dalam menjaga burung kakaktua.

  “Keistimewaan lain ada pada burung kakaktua ialah ia akan kembali kepada pemiliknya apabila dilepaskan,” katanya yang berhajat untuk memiliki beberapa spesies lain selepas ini.

  Katanya, kelebihan lain yang terdapat pada burung kakaktua ialah warna bulunya yang terang dan menarik, sebagai contoh spesies Sun Parakeet memiliki bulu berwarna kuning, merah, hijau dan oren.

  “Setiap hari saya dan suami turut mengajar burung berkenaan bercakap dengan menyebut beberapa perkataan yang mudah disebut seperti selamat pagi, tidur, makan, apa khabar dan memberi salam.

  “Saya terhibur setiap kali melihat burung peliharaan yang aktif dan sihat. Hati saya tenang dan gembira melihat gelagatnya,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *