Serik ditipu pemborong benih ikan puyu siam

Serik ditipu pemborong benih ikan puyu siam

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Ditipu pemborong dan ikan mati serentak dalam jumlah yang banyak menjadi pengalaman amat berharga  sepanjang terbabit dengan projek ternakan ikan puyu siam, sejak tahun lalu.

  Menurut Mohd Radzuan Mohd  Nor, 52, hanya semangat sahaja yang membolehkan dia terus bertahan mengusahakan projek ternakan ikan air tawar di Kampung Seri Fajar, di sini.

Ikan puyu siam yang diternak Mohd Radzuan Mohd  Nor.

  Katanya, sejarah hitam ditipu pemborong pada projek pertama ikan puyu jenis siam sebelum ini amat sukar dilupakan. Ternyata tanpa pengalaman menyebabkan dia mudah dipermainkan pihak tidak bertanggungjawab.

  “Saya dan rakan kongsi, Kamaruzaman Mohamed

menanggung kerugian selepas mengeluarkan modal lebih RM5,000 bagi menyediakan benih sebanyak 5,000 ekor selain makanan dan pengurusan lain.

  “Saya difahamkan permintaan terhadap ikan puyu siam begitu menggalakan terutama di kalangan warga asing yang datang bekerja di negara ini, namun masalah pasaran berlaku.

  “Selepas episod ditipu saya memutuskan untuk tidak lagi meneruskan projek ikan puyu siam,” katanya yang kini menjadi pemborong ikan air tawar. 

  Beliau kini menumpukan kepada projek ternak ikan patin dan tilapia merah dalam kolam menggunakan sistem aliran air bukit yang sentiasa bertukar.

  Mohd Radzuan yang turut mengusahakan ternakan ayam kampung dan itik berkata, ikan yang dihasilkan lebih berkualiti kerana menggunakan sumber air bukit dan makanan buatan atau pallet sepenuhnya.

 Menurutnya, pengalaman kali pertama menternak ikan puyu siam menjadi pengajaran berguna kepadanya supaya berusaha mendapatkan pasaran beberapa bulan sebelum ikan mencapai saiz sesuai untuk dijual bagi mengelak menanggung kerugian.

  Tambahnya lagi, kini terdapat lebih 80 kolam ikan air tawar milik penduduk Kampung Seri Fajar termasuk dua kolam ikan patin dan tilapia merah miliknya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *