Set kelengkapan tidur bayi buatan Pekan bertaraf dunia

Set kelengkapan tidur bayi buatan Pekan bertaraf dunia

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

PEKAN: Pengalaman lebih 10 tahun menghasilkan kelengkapan tidur bayi menjadi kelebihan untuk meletakkan produk yang dihasilkan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

  Menurut Wan Norkhaziehan Mohd Jaafar, 30, antara produk utama dihasilkannya ialah kain cadar, bantal, tilam dan barangan cenderamata pelbagai saiz dan rekaan khusus untuk kegunaan bayi.

  Katanya, pengalaman luas selain penggunaan kain dan kekabu yang berkualiti tinggi  menjadi kelebihan untuk produk dihasilkan diterima di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Kekabu gred AA diimport dari Indonesia digunakan untuk pembuatan set kelengkapan bayi.

 “Saya terpaksa mengimport  kekabu gred AA dari Indonesia sejak beberapa tahun lalu disebabkan kekurangan kekabu tempatan yang berkualiti.

  “Setiap dua bulan saya mengimport lima hingga enam tan kekabu bersih bagi menghasilkan pelbagai produk untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Antara produk kelengkapan bayi yang berkualiti tinggi dihasilkan sehingga mampu menembusi pasaran antarabangsa.

  “Setiap bulan lebih 1,250 kilogram kekabu digunakan dan jumlahnya akan bertambah satu hingga dua kali ganda bergantung kepada permintaan,” katanya yang menjalankan perusahaan di Taman Tanah Putih Tiga, di sini.

  Beliau menambah, penggunaan kekabu 100 peratus selain kain jenis kapas import berkualiti tinggi menjadi kelebihan produk kelengkapan tidur bayi keluarannya dengan jenama Aziejaafarhandmade dan Littlecandy diterima baik semua lapisan masyarakat.

  Wan Norkhaziehan berkata, produk utama mendapat permintaan tinggi di dalam dan luar negara ialah tilam bayi yang mempunyai reka bentuk tersendiri dan bersulam selain corak kain menarik serta berkualiti tinggi.

  Katanya, set tilam bayi bersama lima bantal kini menjadi produk utama mendapat permintaan tinggi di dalam negara selain di Singapura dan Brunei yang dijual dengan harga RM95 hingga RM190 setiap satu set.

  “Setiap hari saya mampu menghasilkan 15 hingga 20 set tempat tidur bayi bagi memenuhi permintaan 12 pemborong seluruh negara.

  “Seramai tujuh pekerja wanita digunakan dan mereka mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti jahitan, memotong kain, sulaman dan rekaan.

  “Pasaran secara atas talian (online) dan penghantaran menggunakan syarikat kurier kini digunakan sepenuhnya yang dianggap lebih mudah, cepat, jimat dan memenuhi pemintaan pemborong,” katanya.

  Beliau berkata, hampir setiap bulan dia menghasilkan produk rekaan baru ciptaan sendiri dan  pelanggan serta pemborong hanya perlu membuat pesanan selepas melihat gambar yang disediakan.

  Katanya, sokongan suami, Wan Mohd Zaki Wan Mohamad Razali, minat dan pendedahan selama enam bulan di Pusat Giat MARA Kuantan dalam bidang jahitan pada 2008 memberi kelebihan kepadanya menceburi perniagaan menghasilkan pelbagai produk kelengkapan tidur bayi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *