Kasino Genting Highlands diarah tutup sepenuhnya mulai tengah malam ini

Kasino Genting Highlands diarah tutup sepenuhnya mulai tengah malam ini

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Semua operasi membabitkan kasino di Genting Highlands, dekat Bentong, akan dihentikan sepenuhnya bermula tengah malam ini. 

  Perkara berkenaan dimaklumkan Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Abd Jalil Hassan ketika diminta mengulas mengenai ‘isu panas’ berkaitan aktiviti kasino yang berjalan seperti biasa, meskipun selepas dikaitkan dengan beberapa kes positif COVID-19. 

  “Memang (kasino) masih beroperasi buat masa ini dan kita sudah mengarahkan pasukan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) dari IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Bentong membuat pemantauan.

  “Ini bagi memastikan pihak (pengendali kasino) terbabit mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuat kuasa tengah malam ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

  Abd Jalil berkata, kebanyakan premis lain di sekitar pusat peranginan terbabit sudah menghentikan operasi mereka sejak minggu lalu. 

  “Polis tidak mengeluarkan kompaun kepada mereka (pengendali kasino) kerana mereka mempunyai kebenaran untuk beroperasi sebelum ini,” katanya. 

  Pada 7 Mei lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 16 daripada 28 pelancong dari Alor Setar, Kedah, positif COVID-19 selepas dikatakan mengunjungi Genting Highlands.

  Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kumpulan pelancong terbabit mengunjungi kasino berkenaan atau tidak.

  Susulan itu, Menteri Kanan (Pertahanan) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat lalu mengumumkan SOP lebih ketat dikenakan terhadap sektor ekonomi, berkuat kuasa esok. 

  Difahamkan, operasi pusat perjudian berlesen termasuk kasino terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *