Pesara pegawai pertanian teruja dapat eksport nangka muda ke Singapura

Pesara pegawai pertanian teruja dapat eksport nangka muda ke Singapura

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

PEKAN: Permintaan menggalakkan daripada rakyat Singapura terhadap nangka muda untuk dibuat sayur memberi pendapatan lumayan kepada seorang pekebun tempatan.

Mohd Derus Abdul Latif mengusahakan tanaman
nangka seluas 14 hektar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kota Perdana dan TKPM Salong, Pekan.

  Menurut Mohd Derus Abdul Latif, 61, dia mula mengeksport nangka muda ke Singapura melalui seorang pemborong hasil pertanian di Johor sejak tiga tahun lalu.

  Katanya, di peringkat awal dia sendiri tidak begitu yakin buah berkenaan boleh diterima oleh rakyat negara jiran itu yang terdiri daripada pelbagai kaum dan taraf hidup mereka lebih tinggi.

Buah nangka muda sedia dipetik untuk dieksport ke Singapura.

  Bagaimanpun menurutnya,  sangkaannya meleset apabila sejak bulan ketiga penghantaran, pemborong meminta jumlah buah ditambah bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

  “Bermula hanya kira-kira lima tan sebulan, kini jumlahnya bertambah kepada 12 hingga 15 tan sebulan. Hanya buah bersaiz sederhana antara dua hingga tiga kilogram (kg) sahaja mendapat permintaan.

  “Nangka muda digunakan untuk membuat sayur lemak dan beberapa jenis hidangan istimewa lain mengikut kaum termasuk dimakan dengan sambal,” katanya ketika ditemui di sini.

Buah nangka muda sedia dipetik untuk dieksport ke Singapura.

   Beliau yang memiliki lebih 1,200 pokok nangka madu jenis J33 di kawasan seluas 14 hektar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kota Perdana dan TKPM Salong, di sini, berkata, hanya buah nangka muda yang berkualiti tinggi sahaja diterima pemborong.

  Mohd Derus berkata, setiap minggu penghantaran nangka muda ke pusat pengumpulan pemborong di Johor dilakukan sebelum buah berkenaan dibawa masuk ke negara jiran itu mengunakan lori bersama pelbagai hasil pertanian lain.

  Katanya, 95 peratus buah nangka muda yang dihantar ke Singapura adalah keluaran ladangnya di TKPM Kota Perdana dan TKPM Salong yang diusahakan lebih 10 tahun lalu, selebihnya dibeli daripada peserta lain.

  “Penggunaan sejenis bahan penggalak buah nangka yang dihasilkan memberi kelebihan kepada saya bagi memenuhi permintaan tinggi daripada pemborong untuk dihantar ke Singapura selain pasaran tempatan.

  “Saya mengeluarkan kira-kira 20 hingga 25 tan buah nangka muda sebulan untuk pasaran dalam dan luar negara. Saya juga memasarkan nangka masak bagi memenuhi permintaan perniaga serta pengguna.

  “Permintaan nangka masak juga semakin bertambah sehingga tidak mencukupi dan harganya yang tinggi memberi keuntungan kepada petani,” kata pesara penolong pegawai pertanian itu.

  Beliau berkata, selain nangka madu J33, dia turut mengusahakan tanaman lain seperti serai, jambu batu dan betik untuk pasaran tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *