Rentas negeri: 38 pengguna ‘jalan tikus’ degil dikompaun

Rentas negeri: 38 pengguna ‘jalan tikus’ degil dikompaun

Husin Ibrahim

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Zulkepli Osman

KUANTAN: Polis Kuantan mengeluarkan sebanyak 38 kompaun ke atas sebilangan individu ‘degil’ yang cuba merentas negeri dari Terengganu ke daerah ini dengan melalui ‘jalan tikus’ di sempadan Kuantan – Jabor ketika dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, semua kompaun terbabit dikeluarkan sebelum pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.

  Beliau berkata, tindakan merentas sempadan melalui jalan tikus boleh disifatkan kesalahan serius kerana pelaku bukan setakat melanggar prosedur operasi standard (SOP), malah mungkin menyebabkan muncul kluster baharu.

  “Ini kerana tindakan mereka memasuki kawasan lain secara ‘senyap-senyap’ sekali gus menyukarkan mereka dikesan seandainya berlaku insiden tidak diingini atau mereka menjadi pembawa virus COVID-19.

  “Apa salahnya jika mohon kebenaran dengan pihak berkuasa supaya tidak timbul masalah di kemudian hari,” katanya.

KUANTAN 24 MEI 2021. Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali memantau  pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sebuah pasaraya  di Tanjung Lumpur, Kuantan. Tujuh mukim di Kuantan dikenakan PKPD berkuatkuasa  24 Mei hingga 6 Jun. Gambar Fikrah Pahang oleh Zulkepli Osman

  Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan di sebuah pasar raya di bandar raya ini, hari ini.

  Menurutnya, sepanjang tempoh PKPD, pihaknya sudah menyelaraskan sekatan laluan di empat lokasi dalam daerah ini iaitu di Tanjung Selangor, Cheneh-Jabor, Jabor- Aspa Cottege juga di Felda Neram.

  “Kita meletakkan ‘concrete barrier’ (penghadang simen) buat sementara di kawasan pintu masuk ke Kuantan di empat lokasi ini, manakala kawasan lain memadai dengan sekatan jalan raya (SJR) biasa,” katanya.

  Dalam pada itu, Mohamad Noor memuji sebahagian besar warga Kuantan memberikan kerjasama yang baik dan mematuhi SOP ditetapkan sepanjang pelaksanaan PKP dan PKPD.

  “Memang ada segelintir yang kurang sabar dan memarahi anggota polis yang bertugas, namun sebahagian besarnya memberi kerjasama yang baik,” katanya.   

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *