Bantuan Prihatin Pahang RM7.8 juta bukti MB selami kesukaran hidup rakyat harungi PKP

Bantuan Prihatin Pahang RM7.8 juta bukti MB selami kesukaran hidup rakyat harungi PKP

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 secara bersasar kepada penduduk Pahang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berjumlah RM7.8 juta seperti yang diumumkan Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail semalam, membuktikan kecaknaan Menteri Besar dan kerajaan negeri, kepada rakyat yang sedang bergelut ujian pandemik terbabit.

  Pandangan itu disuarakan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Mohd Izzat Afifi Abd Hamid, yang sangat menyokong usaha kerajaan negeri menyerap kesukaran rakyat pada masa ini dengan memberikan bantuan dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan. 

  “Dalam situasi semasa pandemik COVID-19 di Pahang yang mengalami kenaikan lengkung jangkitan dan kemunculan pelbagai varian baru yang membimbangkan, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan PKP Diperketatkan (PKPD) adalah usaha mengawal penularan.

  “Peruntukan besar disediakan Kerajaan Pahang adalah tanda cakna mereka kepada kisah rakyat yang kini bergelut berdepan ujian pendemik berbahaya ini selain membuktikan kemampuan kewangan kerajaan negeri berada tahap terbaik ketika ini.

  “Bantuan ini dapat dimanfaatkan rakyat untuk mengharungi masa sukar bagi meneruskan kehidupan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

  Menurut Mohd Izzat Afifi, keutamaan bagi badan itu adalah membabitkan ekonomi belia yang turut disentuh secara tidak langsung dalam inisiatif berkenaan apabila manfaatnya diterima golongan petugas barisan hadapan, penjaja harian, pemandu teksi, kes COVID-19 aktif termasuk mangsa menjalani kuarantin di rumah, gelandangan, miskin tegar, orang kelainan upaya (OKU) yang juga terdiri daripada golongan belia dan orang muda selain warga emas penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berusia 80 tahun ke atas.

   “Semoga usaha murni ini menjadi sokongan dan dokongan secara tidak langsung kepada pembangunan belia Pahang dan Malaysia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *