JPNP tutup sementara semua 26 TER dan HTN sepanjang tempoh PKP

JPNP tutup sementara semua 26 TER dan HTN sepanjang tempoh PKP

Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad

Kuantan: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menutup sementara 26 Taman Eko Rimba (TER) dan Hutan Taman Negeri (HTN) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 seluruh negara selama dua minggu bermula 13 Mei lalu.
Turut ditutup untuk semua aktiviti riadah ialah kawasan pendakian dan perkelahan yang terdapat dalam hutan simpan kekal.
Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong berkata, keputusan menutup sementara semua pusat perkelahan itu diputuskan pihak berkuasa dan tindakan berkenaan perlu dilakukan demi keselamatan dan kesihatan orang ramai.

Taman Eko Rimba (TER) Chamang, Bentong, ditutup sementara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.


Katanya, dalam tempoh berkenaan, Pejabat Hutan Daerah (PHD) tidak akan mengeluarkan permit untuk memasuki hutan simpan kekal yang terdapat di daerah berkenaan bagi tujuan aktiviti riadah.
“JPNP memohon maaf berhubung keputusan menutup sementara semua 26 TER, HTN dan hutan simpan kekal, ia bertujuan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.
“Keputusan berkenaan dibuat demi kebaikan bersama, kita tidak mahu keseronokan bersama keluarga dan rakan-rakan di pusat perkelahan di bawah selian JPNP berakhir dengan kejadian tidak diingini,” katanya di sini, hari ini.
Beliau menambah, JPNP menguruskan 25 TER di seluruh negeri termasuk satu taman negeri dan antara TER yang popular di kalangan pelancong ialah TER Mossy Forest, TER Chamang, TER Lentang, TER Sungai Pandan, TER Lata Jarum dan TER Berkelah.
“TER Mossy Forest, Cameron Highlands mencatat jumlah kehadiran pelancong tempatan dan luar negara yang ramai setiap hujung minggu sebelum ini, namun kini tempat berkenaan terpaksa ditutup sementara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *