Tidak serik diganggu makhluk halus penjaga barangan antik

Tidak serik diganggu makhluk halus penjaga barangan antik

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Diganggu makhluk halus yang menjaga barangan antik adalah antara cabaran terpaksa dihadapi individu yang terbabit dengan hobi mengumpul barang-barang berkenaan.

  Pengalaman itu dilalui Hairol Budiman Abu Bakar, 51, yang berpengalaman lebih 25 tahun sebagai pengumpul dan penjual pelbagai barangan antik tempatan.

  Katanya, episod diganggu makhluk halus yang menjaga kacip pinang antara pengalaman sukar dilupakan selepas alat tradisional Melayu itu dibeli daripada seorang individu di Sungai Lembing. Pelbagai kejadian aneh dan menyeramkan berlaku ketika alat berkenaan berada dalam simpanannya.

  “Kejadian berkenaan menjadi pengajaran paling berguna buat saya supaya lebih berhati-hati setiap kali membeli apa juga barangan antik terutama peralatan tradisional Melayu yang diperbuat daripada besi, kayu dan tembikar.

Hairol Budiman Abu Bakar (kanan) menjual barangan antik di Taman Kerang, Kuantan.

  “Kini saya lebih berhati-hati setiap kali ada pihak yang menawarkan untuk menjual barangan antik, saya mengamalkan beberapa doa sebagai pendinding gangguan makhluk halus,” katanya.

  Katanya, kebanyakan barangan lama dan antik dalam simpanannya dikumpul secara berperingkat sebelum dijual kepada peminat barangan itu dengan harga RM100 sehingga mencecah ribuan ringgit, bergantung kepada kualiti, usia dan saiz.

  Hairol Budiman berkata, kebanyakan barangan antik dibeli daripada pemilik asal dengan harga yang ditetapkan dan ia bergantung kepada budi bicara pada kadar RM100 hingga RM500.

  “Saya dilakukan semua ini kerana minat dan sebagai cara saya menghargai nilai sejarah barangan antik berkenaan. Kebanyakannya (barangan antik) saya simpan untuk buat koleksi peribadi dan hanya menjualnya kepada peminat yang betul-betul boleh menjaganya dengan baik.

  “Kebanyakan barangan lama mempunyai kisah dan sejarah tersendiri, nilai serta keunikan yang hanya difahami oleh penggemar koleksi barangan antik itu sahaja.

  “Saya sanggup menjelajah ke merata kampung tradisional di negeri ini untuk mendapatkan barangan lama dan antik yang dianggap tidak bernilai oleh sesetengah individu, terutama generasi muda,” kata anak jati  Pekan itu.

  Beliau menambah, setiap Sabtu dan Ahad sebahagian daripada koleksinya dipamerkan untuk tontotan peminat selain dijual di Taman Kerang, di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *