MUIP belanja RM3.4 juta baik pulih dan bina semula rumah asnaf

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) membelanjakan lebih RM3.4 juta bagi bantuan membaik pulih dan bina baharu rumah 249 asnaf di negeri ini, tahun lalu.

  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan berkenaan membabitkan sebanyak 238 dibaik pulih dan 11 dibina baharu rumah oleh beberapa kontraktor yang dilantik.

  Menurutnya, daerah Pekan mencatat jumlah terbanyak menerima bantuan berkenaan membabitkan 219 rumah dibaik pulih dan dua bina baharu, diikuti Temerloh sebanyak 37 dibaik pulih.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman menyerahkan replika kunci rumah kepada Nurlia Hafieza Abdullah di Kampung Api Larat, Mukim Bebar, Pelan.

  Katanya, daerah Rompin membabitkan 33 rumah dibaik pulih dan satu bina baharu, manakala 22 rumah asnaf di daerah Kuantan dibaik pulih dan empat bina baharu. Daerah lain menerima bantuan antara dua hingga lapan baik pulih serta bina baharu.

  “Setiap permohonan untuk baik pulih dan bina baharu rumah perlu melalui MUIP cawangan daerah masing-masing dan selepas siasatan dilakukan, keputusan akan dibuat oleh jawatankuasa khas.

  “MUIP sentiasa memberi perhatian terhadap apa juga permohonan bantuan yang diperlukan golongan asnaf di negeri ini dalam memastikan kehidupan mereka lebih terjamin,” katanya.

  Beliau berkata demikian selepas menyerahkan rumah bina baharu kepada Nurlia Hafieza Abdullah di Kampung Api Larat Mukim Bebar, di sini, kelmarin.

  Rumah bernilai RM50,000 diberikan kepada tujuh sekeluarga itu yang sebelum ini terpaksa menumpang rumah keluarga. Kediaman berkenaan dapat memberi keselesaan kepada keluarga terbabit.

  Dr Asmadi menambah, perbelanjaan baik pulih dan  bina baharu rumah yang disediakan MUIP antara RM5,000 hingga RM50,000 seunit.

  “Kita akan terus berusaha membantu memberi kediaman yang lebih selesa kepada golongan asnaf di negeri ini dan kemudahan berkenaan antara  tanggungjawab yang digalas MUIP menggunakan wang zakat dibayar umat Islam di negeri ini,” katanya.

  Sementara itu, Nurlia Hafieza berkata, hanya ucapan syukur dan terima kasih dapat diberikan kepada MUIP yang menyediakan kediaman selesa untuk mereka sekeluarga.

  “Bantuan berkenaan memberi sinar baharu kepada saya sekeluarga yang sebelum ini menumpang rumah saudara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *