Berang institusi diraja dihina, 11 pihak tampil membuat laporan polis

Berang institusi diraja dihina, 11 pihak tampil membuat laporan polis

Oleh Izzah Yusoff

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Sebanyak 11 pihak terdiri daripada beberapa parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini, sebagai tanda solidariti kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUANTAN 30 MEI 2021. Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri Pahang, Mujahidul Amin Roslan (dua dari kiri) dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuantan, MD Jamil Pauzi (tiga dari kiri) bersama pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) pada sidang media selepas membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Youtube bernama Iswardy Momi Official yang berbaur hasutan dan menghina KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di IPD Kuantan. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

  Laporan polis itu dibuat berikutan satu hantaran video yang disiarkan secara langsung di Youtube oleh pemimpin pro-Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Iswardy Morni yang didakwa berbaur hasutan dan menghina Al-Sultan Abdullah.

  Difahamkan, dalam video itu, Iswardy dikatakan mengeluarkan kenyataan mendakwa Al-Sultan Abdullah tidak bertindak dan mengambil tahu terhadap peningkatan kes COVID-19.

  Ketua Pemuda UMNO Kuantan, Md Jamil Pauzi yang mewakili pihak membuat laporan itu berkata, kandungan video itu amat serius dan disifatkan sebagai tindakan biadab, kurang ajar serta tidak bertamadun.

  “Kita perlu bertindak lebih tegas. Sikap sebegini sangat kurang ajar dan tidak menghormati institusi beraja dan ia berniat jahat serta sangat mencabar perlembagaan negara.

  “Kita harap orang ini (Iswardy Morni) dikenakan hukuman setimpal berdasarkan peruntukan undang-undang supaya menjadi pengajaran kepada orang lain yang mempunyai niat melakukan perkara serupa,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan berkenaan.

   Md Jamil berkata, turut sama membuat laporan ialah wakil daripada Pemuda PAS, Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Gerakan. 

   Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Mujahidul Amin Roslan berkata, tindakan Iswardy itu  satu bentuk provokasi terhadap sensitiviti orang Melayu dan tidak patut dibiarkan tanpa tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

 “Kami bersepakat membuat laporan polis bersama hari ini sebagai tanda sokongan kepada Al-Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang dan perkara sebegini tak boleh dibiarkan kerana kita tidak mahu ia dinormalisasikan selain sebagai peringatan bagi sesetengah pihak yang tidak menghormati institusi beraja di negara ini,” katanya.

  Hadir sama, Ketua Penerangan ARMADA Indera Mahkota, Radin Mohd Nor Hafizan dan Ketua Pemuda Gerakan negeri, Goh Tee Loong.

  Susulan video berkenaan, polis menahan Iswardy Morni di kediamannya di Kajang, Selangor, kira-kira jam 11 malam Sabtu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berbaur hasutan dan menghina KDYMM Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

  Difahamkan, lelaki itu ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *