Sedekah tiga tan tembikai untuk kongsi rezeki

Sedekah tiga tan tembikai untuk kongsi rezeki

KUANTAN: “Sesiapa yang berhajat datanglah ke kebun ambil sendiri, saya sediakan sebanyak 3,000 kilogram (kg) buah tembikai untuk disedekahkan.
“Tak perlu bayar, saya bagi percuma kerana ingin berkongsi sebahagian rezeki hasil tanaman tembikai jenis boci dengan penduduk setempat dan orang dari luar,” kata pekebun, Ain Izuadin Mohd Ghazali, 26.
Katanya, tahun lalu 2,000 kg buah disedekahkan dan kali ini 3,000 kg diagihkan dengan purata berat sebiji 4 kg ke bawah.

Pekebun, Ain Izuadin Mohd Ghazali menyediakan 3,000 kilogram tembikai untuk disedekahkan di Kampung Ubai, Pekan.


Dia yang mengusaha tanaman tembikai seluas lebih 1.6 hektar berkata, mereka yang ingin merasai tembikai percuma boleh datang terus ke kebunnya di Kampung Ubai, di sini.
“Ambillah sekadar untuk makan selagi tidak membazir,” katanya.
Menurutnya, terdapat beberapa longgok buah yang boleh diambil mengikut konsep ‘siapa cepat dia dapat’. Ramadan lalu
agihan buah turut dilakukan namun jumlahnya tidak banyak seperti kali ini.
“Sejak terbabit dengan projek tanaman tembikai tiga tahun lalu setiap musim sebahagian hasil saya berikan secara percuma kepada penduduk kampung dan pihak luar. Mereka datang mengambil buah di kebun dan ada juga saya hantar ke rumah.
“Rezeki yang Tuhan anugerahkan kepada saya perlu dikongsikan terutama dalam keadaan sekarang, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai orang yang tertekan.

Pekebun, Ain Izuadin Mohd Ghazali menyediakan 3,000 kilogram tembikai untuk disedekahkan di Kampung Ubai, Pekan.

“Buah tembikai yang masak tidak boleh disimpan lama, bagi mengelak buah rosak lebih baik saya sedekahkan kepada orang yang berminat,” katanya yang bercadang mengusahakan tanaman jagung manis selepas ini.
Beliau berkata, musim tanaman tembikai kali ini begitu mencabar buat pekebun di Kampung Ubai berikutan daerah ini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), menyebabkan pasaran buah begitu perlahan sehingga menyebabkan harga menjunam.
Ain Izuadin berkata, impian pekebun meraih pendapatan lumayan tidak menjadi kenyataan, malah ada di antara mereka yang menanggung kerugian apabila harga jualan ladang jatuh serendah 30 sen sekilogram.
Menurutnya, kesanggupan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang membantu memasarkan sebahagian hasil ladang dapat menyelamatkan pekebun daripada menanggung kerugian lebih besar pada musim kali ini.
“Terdapat kira-kira 17 pekebun tembikai di Kampung Ubai, mereka mengusahakan tanaman secara berperingkat, pertengahan bulan depan hasil seterusnya akan keluar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *