Inovasi lesong kaki Kampung Nenasi

Inovasi lesong kaki Kampung Nenasi

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

Pekan: “Saya mengambil masa dua jam untuk mencipta lesung kayu yang dipijak bagi menumbuk pelbagai jenis bijirin untuk meringankan beban isteri, Roslina Man, 50, yang mengusahakan perusahaan membuat putu kacang hijau.

Harun Ibrahim menghasilkan inovasi lesung kayu yang dipijak untuk menumbuk bijirin yang mengambil masa lebih cepat.

  “Selain tidak terlalu memenatkan, inovasi dihasilkan lima tahun lalu itu mengambil masa singkat untuk menghancurkan kacang hijau. Dalam masa empat jam saya dapat menghancurkan dua kilogram kacang hijau,” kata Harun Ibrahim, 58.

  Harun yang menetap di Kampung Sepauk, Nenasi, dekat sini berkata, dia hanya memerlukan modal RM40 membeli lima batang spring sebagai penarik ‘antan’ atau penumbuk yang diperbuat daripada kayu spesies cengal.

  Katanya, aktiviti menumbuk kacang hijau dilakukan sambil duduk dan berehat dengan sebelah kaki digunakan untuk memijak pedal kayu dan melepaskan secara berterusan.

  Beliau berkata, kayu buangan kilang digunakan untuk membuat sebahagian rangka lesung berkenaan dan lebih menarik dia turut menggunakan lesung lama diperbuat daripada kayu merbau berusia lebih 48 tahun dibeli dengan harga RM8 bagi menghasilkan lesung kaki yang pertama dicipta.

  “Dengan adanya lesung kayu menggunakan kaki untuk menumbuk, tugas menumbuk kacang hijau, beras, padi, kerisik dan pelbagai bijirin lain menjadi lebih mudah,” katanya.

  Bapa kepada sembilan anak lebih dikenali dengan panggilan Pok Su Harun berkata, dia kini berusaha menaik taraf lesung kayu dengan menggunakan mesin bagi mengerakkan antan atau penumbuk tanpa henti dalam masa tertentu.

  Katanya, idea menghasilkan lesung elektrik itu ada, tetapi dia masih tidak berpeluang menghasilkannya disebabkan masalah kewangan.

  Harun berkata, dia yakin dapat menghasilkan lesung kayu elektrik satu hari nanti bagi membantu memperluaskan perusahaan membuat putu kacang.

  Sementara itu, Roslina berkata, jika menggunakan tangan untuk menumbuk kacang hijau sebelum ini dia mengambil masa enam jam menghancurkan sekilogram bijirin itu.

  “Selepas lima tahun menggunakan lesung kayu yang dipijak, tugas menghancurkan kacang hijau semakin mudah dan tidak terlalu memenatkan.

  “Setiap kali Aidilfitri tempahan menumbuk kacang hijau untuk membuat putu kacang akan bertambah daripada penduduk kampung,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *