Pemandu teksi lega nasib terbela

Pemandu teksi lega nasib terbela

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Nasib pemandu teksi yang terkesan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di daerah ini sejak 24 Mei lalu, sedikit terbela apabila kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM36,600 untuk diagihkan kepada golongan itu, hari ini.

  Ia sebagai tanda prihatin kerajaan negeri terhadap nasib mereka dan sumbangan bersasar itu diagihkan secara pandu lalu di perkarangan Terminal Sentral Kuantan, di sini, hari ini. 

  Pengagihan sumbangan wang tunai dan pek makanan dilakukan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Rahim Muda serta Datuk Bandar Kuantan, Dato’ Hamdan Hussin. 

  Seramai 231 daripada 366 pemandu teksi berdaftar dengan Persatuan Pemandu Teksi Daerah Kuantan menerima sumbangan hari ini, manakala selebihnya akan diagihkan melalui persatuan.


  Difahamkan, konsep pandu lalu itu dilakukan bagi memastikan program berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, memandangkan daerah Kuantan masih berada dalam PKPD. 

  Program ringkas itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Pahang, Dato’ Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali. 

  Sementara itu, pemandu teksi, Rosli Mamat, 64, ketika ditemui berkata, sumbangan itu sememangnya amat membantu mereka yang terjejas sumber pendapatan sejak penularan COVID-19 melanda negara tahun lalu. 

  “Sudahlah jumlah penumpang semakin merosot, ditambah pula pelaksanaan PKP, memang (terjejas) teruk pendapatan kami. 

  “Mujur kerajaan negeri prihatin dengan menyediakan sumbangan ini. Dapat jugalah membantu dan meringankan sedikit bebanan kami untuk beli barang dapur,” katanya.

  Dia yang memandu teksi sejak lebih 20 tahun lalu berkata, sumbangan itu juga bukti keprihatinan kerajaan negeri yang peka dengan kesulitan yang sedang dihadapi pemandu teksi ketika ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *