Tiga lagi ‘tewas’ gara-gara COVID-19

Tiga lagi ‘tewas’ gara-gara COVID-19

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Sebanyak tiga kematian direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang hari ini, menjadikan jumlah kematian terkumpul di negeri ini meningkat kepada 66 kes.

  Pengarah JKN Pahang, Dato’ Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, ketiga-tiga kes membabitkan individu warga emas berusia antara 65 hingga 67 tahun.

  Katanya, ia membabitkan dua kes di Kuantan dan satu lagi di Jerantut yang mempunyai sejarah penyakit kronik iaitu tekanan darah tinggi dan angin ahmar.

  Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 237 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di negeri ini sebanyak 10,004 kes.

  “Daripada 237 kes baru didaftarkan ini, sebanyak 168 kes adalah rakyat tempatan manakala 69 kes membabitkan warga asing. Selain itu, 216 kes adalah jangkitan tempatan, satu kes jangkitan import B dari Terengganu dan orang kena tahan (OKT) sebanyak 20 kes.

  “Saringan kluster pula mencatatkan 107 kes, saringan kontak rapat (106 kes) dan saringan bergejala (17 kes),” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

  Dr Bahari berkata, semua daerah di Pahang mencatatkan pertambahan kes dan kes tertinggi dicatatkan ialah di daerah Kuantan iaitu 100 kes, diikuti Bentong (43), Temerloh (27)

 Bera (26), Maran (16), Jerantut (lapan), Cameron Highlands (enam), Rompin (lima), Lipis (tiga), Pekan (dua) dan Raub (satu).

   “Berdasarkan rekod, lapan hospital dan enam Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pahang kini menempatkan 1,372 pesakit, setakat hari ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *