COVID-19: Tiga kluster baharu dikesan di Pahang

COVID-19: Tiga kluster baharu dikesan di Pahang

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar hiasan

KUANTAN: Sebanyak tiga kluster baharu COVID-19 dikesan di Pahang hari ini, menjadikan jumlah kluster terkumpul di negeri ini sebanyak 32 kluster.

  Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, tiga kluster terbabit ialah Kluster Industri Gebeng dan Batu Hitam di Kuantan, serta Kluster Kampung Mat Daling di Jerantut.

  “Kluster Industri Gebeng bermula apabila satu kes dilaporkan 28 Mei lalu iaitu penularan di tempat kerja membabitkan seorang rakyat tempatan yang mempunyai gejala menyebabkan seramai 70 individu disaring sebelum 25 kes dikesan positif COVID-19.

  “Kluster Batu Hitam bermula dengan satu kes positif pada 21 Mei, juga disebabkan penularan di tempat kerja membabitkan seorang lelaki berusia 52 tahun di sebuah kilang di Gebeng.

  “Siasatan lanjut mendapati berlaku aktiviti menziarahi keluarga berdekatan pada hari raya pertama. Selepas saringan dilakukan terhadap 80 kontak rapat, seramai 39 kes dikesan positif COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

  Mengulas lanjut, beliau berkata, Kluster Kampung Mat Daling pula bermula apabila ahli keluarga dan penduduk sekitar kampung yang berkumpul dan beraya bersama.

  “Kes di Kampung Mat Daling mula dilaporkan pada 25 Mei lalu disyaki bermula daripada kes indeks seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang tidak mempunyai sejarah penyakit, namun disebabkan mula mengalami gejala hilang deria rasa 21 Mei lalu, dia ke klinik swasta untuk menjalani saringan ujian sebelum dikesan positif.

  “Siasatan lanjut mendapati, dia pulang ke Kampung Mat Daling dari 11 hingga 18 Mei lalu. Seramai 47 kontak rapat terdiri daripada ahli keluarga disaring beserta penduduk kampung dan mendapati 10 kes disahkan positif COVID-19,” katanya.

  Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 135 kes baharu dilaporkan hari ini membabitkan 122 kes rakyat tempatan, manakala 13 kes lagi warga asing.

  Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memaklumkan, terdapat dua kes kematian di Mukim Beserah di sini dan Mukim Chenor, Maran akibat jangkitan COVID-19 hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *