COVID-19: 17 individu kena kompaun RM25,500 sepanjang enam hari di Temerloh

COVID-19: 17 individu kena kompaun RM25,500 sepanjang enam hari di Temerloh

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar Mohd Imran Izzad 

TEMERLOH: Polis mengeluarkan 17 kompaun bernilai RM25,500 dalam tempoh enam hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua mukim di daerah ini.

  Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, kompaun yang dikeluarkan pada 28 Mei hingga 2 Jun itu membabitkan kesalahan ingkar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kawasan PKPD.

TEMERLOH 4 JUN 2021. Polis mengadakan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Taman Chengal, Temerloh, hari ini. FIKRAH PAHANG/Mohd Imran Izzad

  “Seramai 11 orang dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka manakala enam individu lagi kerana gagal mengimbas kod QR MySejahtera.

  “Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa dan berada di dalam rumah dengan mengehadkan pergerakan luar jika tiada urusan penting,” katanya, di sini hari ini.

  Mohd Yusri berkata, pelaksanaan PKPD di Mukim Perak dan Mukim Bangau di sini bermula 28 Mei hingga 10 Jun depan membabitkan seramai 68,700 orang penduduk.

  Katanya, bagi memastikan kawalan dan pemantauan dapat dilaksanakan dengan baik, pihak polis melaksanakan tujuh sekatan jalan raya (SJR) selain menambah pasukan pemantau.

  “Sehingga kini pelaksanaan PKPD di kawasan ini berjalan lancar dan petugas SJR diarah melakukan pemeriksaan ketat terhadap kebenaran pergerakan kenderaan yang masuk.

  “Tahap pematuhan orang ramai setakat ini adalah sebanyak 97 peratus, namun masih terdapat segelintir penduduk yang masih berdegil terutama golongan remaja yang merayau-rayau di dalam kawasan taman perumahan tanpa tujuan,” katanya.

  Dalam pada itu, beliau berkata, pihak polis sudah mengenal pasti 12 laluan tikus ke kawasan Mukim Perak dan Mukim Bangau yang dilaksanakan PKPD itu.

  “Kita memasang penghadang konkrit dan kawat duri di sembilan laluan tikus terbabit manakala tiga laluan lagi yang baru dikenal pasti akan dilakukan penutupan segera,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *