Malaysia bakal guna vaksin COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection keluaran AstraZeneca daripada pengilang kedua dari Thailand

Malaysia bakal guna vaksin COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection keluaran AstraZeneca daripada pengilang kedua dari Thailand

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan ketika bencana kepada produk vaksin COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection keluaran AstraZeneca daripada pengilang kedua iaitu Siam Bioscience Co Ltd di Thailand. 

  Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kelulusan itu dicapai dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ke-358 yang bersidang hari ini.

  “Pengilang kedua ini adalah pengeluar yang akan menjadi sumber bekalan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negara ini.

  “Sebelum ini, PBKD meluluskan pendaftaran bersyarat bagi pengilang Medimmune Pharma BV dari Belanda pada 2 Mac 2021, yang juga pengeluar bagi bekalan vaksin COVID-19 AstraZeneca ke negara-negara Eropah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, sebentar tadi.

  Tambah beliau, KKM sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam untuk memerangi COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.  

  “Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa di negara ini mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran PICK,” katanya.

  Untuk makluman, Kerajaan Pusat membuat perolehan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan menerusi fasiliti COVAX, iaitu skim antarabangsa memastikan semua negara mendapat akses sama rata bekalan vaksin COVID-19.

  Malaysia mula menerima bekalan di bawah fasiliti COVAX pada April lalu dan bekalan vaksin AstraZeneca yang bakal diterima daripada pengilang Siam Bioscience Co Ltd dijangka dapat mempertingkatkan kadar vaksinasi di bawah PICK dengan lebih pantas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *