Tambahan Bantuan Prihatin Pahang RM9.3 juta bukti Kerajaan Pahang cakna kat aokmer

Tambahan Bantuan Prihatin Pahang RM9.3 juta bukti Kerajaan Pahang cakna kat aokmer

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.m

KUANTAN: Kerajaan Pahang menambah sebanyak RM9.3 juta lagi bagi disalurkan untuk Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 Secara Bersasar Fasa 2 kepada rakyat negeri ini, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM17.1 juta.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan tambahan itu untuk mereka yang terputus mata pencarian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan PKP Diperketatkan (PKPD).

  “Sukacita saya umumkan (tambahan) peruntukan RM9.3 juta lagi menerusi BPP COVID-19 Secara Bersasar Fasa 2 kepada rakyat Pahang terutamanya untuk yang terputus mata pencarian ekoran penguatkuasaan PKP 3.0 dan PKPD. 

  “Dengan ini, RM17.1 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan BPP COVID-19 Secara Bersasar di bawah kedua-dua Fasa 1 dan Fasa 2,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

  Beliau berkata, di bawah Fasa 1 yang diumumkan 24 Mei lalu, sebanyak RM7.8 juta diperuntukkan Kerajaan Pahang bagi tujuan itu. 

  “Malah ada yang sudah pun diagihkan manakala bagi golongan miskin tegar, OKU (orang kelainan upaya) dan warga emas melebihi 80 tahun yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), akan menerima bantuan bermula minggu depan,” katanya.

  Menurutnya, peruntukan besar yang disediakan itu membuktikan kerajaan negeri komited, mengambil kisah dan mengambil berat ke atas kemaslahatan rakyat, apatah lagi ketika berdepan tempoh sukar sekarang.

  “Seperti pelbagai inisiatif bantuan yang Kerajaan Pahang salurkan sebelum ini, BPP COVID-19 Secara Bersasar Fasa 2 ini masih dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan menerusi penyerahan bakul makanan.

  “Bak kata orang tua, sedikit tanda ingat, banyak tanda ada, begitulah juga saya harapkan pemahaman penerima kepada bantuan dan sumbangan yang diberi menerusi peruntukan ini,” katanya.

  Antara golongan yang akan memperoleh manfaat di bawah Fasa 2 ialah pengusaha bot dan pemandu pelancong, operator kantin harian sekolah dan pekerjanya, penyedia perkhidmatan penghantaran, pemandu e-hailing, serta sukarelawan di pusat-pusat pemberian vaksin (PPV). 

  “Begitu juga masyarakat Orang Asli menerusi tok batin mereka dan penduduk di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB), ahli-ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia serta penggiat seni,” tambah Wan Rosdy. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *