Utamakan pegawai masjid mendapatkan vaksin COVID-19 – Mufti Pahang

Utamakan pegawai masjid mendapatkan vaksin COVID-19 – Mufti Pahang

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Semua pegawai masjid perlu diberi keutamaan mendapatkan vaksin COVID-19, kata Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Osman. 

  Ini kerana, katanya, pegawai dan petugas masjid terdedah kepada orang ramai dan jemaah yang hadir di masjid tempat mereka ditugaskan.

  “Imam, bilal dan siak tiada pilihan lain dan mereka perlu bertugas seperti biasa di masjid atau surau yang mereka diberikan tanggung jawab untuk melaksanakan tugas itu.

  “Atas sebab ini, setiap hari mereka berisiko dijangkiti COVID-19 dan seperti kita sedia maklum, ada antara imam dan bilal serta pegawai masjid terdiri daripada mereka yang sudah berusia dan mempunyai sejarah penyakit kronik,” katanya di sini, hari ini.

  Beliau berkata demikian mengulas saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Sri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya menyenaraikan imam, bilal dan guru takmir sebagai petugas barisan hadapan dan diberikan keutamaan untuk mendapat  vaksin.

  Zulkfili menyuarakan saranan itu pada program bual bicara Forum Perdana Ehwal Islam, semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, berdasarkan rekod Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), seramai 924 imam, 859 bilal dan 865 siak kini bertugas di 660 masjid dan kira-kira 2,000 surau di seluruh Pahang.

  “Kita tak tahu sampai bila pandemik ini akan berakhir, tapi usaha sudah dan sedang dilakukan sebaik mungkin oleh semua pihak berwajib.

  “Saya harap pertimbangkanlah juga (pemberian vaksin) kepada pegawai masjid kerana mereka juga seperti petugas barisan hadapan yang lain dan sekurang-kurangnya dapat melindungi mereka daripada tercetus Kluster baharu yang memburukkan lagi penularan COVID-19 di negeri ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *