2,488 peniaga kecil, penjaja di Kuantan dapat manfaat BPP COVID-19

2,488 peniaga kecil, penjaja di Kuantan dapat manfaat BPP COVID-19

Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Seramai 2,488 peniaga kecil dan penjaja di daerah ini menerima manfaat daripada Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Covid-19 secara bersasar yang diberikan oleh Kerajaan Pahang.

KUANTAN. Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dato’ Hamdan Hussin menyampaikan bantuan BPP Covid-19 secara bersasar kepada peniaga di perkarangan Kompleks Bandaraya Kuantan.


Pemberian BPP itu diharap membantu meringankan beban golongan peniaga kecil dan penjaja yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dato’ Hamdan Hussin berkata, pada sesi pertama pengagihan semalam, seramai 500 peniaga kecil dan penjaja di zon Beserah, Tanjung Lumpur dan Inderapura menerima bantuan itu.
“Sesi kedua di zon Teruntum, Panching dan Beserah pula akan menerima bantuan itu pada 7 Jun ini, diikuti Teruntum dan Sungai Lembing (8 Jun) dan Lepar (9 Jun).
“Pengagihan BPP itu dilaksanakan secara pandu lalu di perkarangan Kompleks Bandaraya Kuantan, di sini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hamdan berkata, penerima BPP itu diberikan kepada peniaga kecil dan penjaja yang berdaftar dan memiliki permit bulanan dan tahunan dengan MBK.
“Dengan bantuan yang diberikan Kerajaan Pahang ini diharap membantu meringankan beban ketika pelaksanaan PKP dan PKPD di daerah ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *