Jangan pandang rendah skuad Harimau Malaya

Jangan pandang rendah skuad Harimau Malaya

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pix Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Tewas tidak bermakna membuka peluang peminat bola sepak negara harus melatah dengan mengkritik keterlaluan skuad Harimau Malaya yang dijinakkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 4-0 pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, kelmarin.

  Ini ditegaskan bekas pemain negara Dato’ Jamal Nasir Ismail yang berpendapat kritikan pedas secara berlebihan tidak mungkin dapat meningkatkan prestasi pemain yang akan turun pada beberapa perlawanan lagi selepas ini.

KUANTAN..Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail.

  “Melemparkan pelbagai kritikan sumbang memang mudah kerana kebanyakan individu bertindak demikian cetek dalam sukan bola sepak. Mereka hanya bercakap atas dasar penilaian menerusi kaca mata sendiri yang seolah-olah melepas geram disebabkan pasukan negara tewas.

  “Sekiranya skuad Harimau Malaya menang atau seri pada perlawanan dengan UAE kelmarin, hampir pasti pujian menggunung diterima barisan pemain.

  “Menjadi lumrah peminat bola sepak negara yang hanya dapat menerima pasukan negara apabila kemenangan diraih, sebaliknya jika tewas, pemain dan jurulatih seolah-olah tidak bererti lagi,” katanya, di sini hari ini.

  Dari kaca mata bekas pemain negara itu, kegagalan pasukan kebangsaan pada perlawanan itu adalah disebabkan beberapa kelemahan yang masih boleh dibaiki sebelum mereka berdepan pencabar lain selepas ini.

  Katanya, menang atau tewas adat perlawanan yang perlu diterima semua pihak dan episod tewas 0-4 keatas UAE berlaku bukan hanya disebabkan kehadiran pemain tertentu.

  “Sebagai contoh, persediaan singkat pasukan juga menjadi faktor kekuatan pasukan tidak dapat diterjemahkan. Agak mustahil dalam masa dua minggu berlatih dan mengharungi dua perlawanan persahabatan pemain dapat membentuk persefahaman yang diharapkan.

  “Saya masih ingat ketika pasukan negara meniti kejayaan gemilang layak bersaing ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Olimpik Moscow 1980, masa diambil untuk membentuk skuad berkenaan lama dengan barisan pemain sama.

 “Pasukan berkenaan turut menyertai beberapa pertandingan di peringkat antarabangsa, bukan tertumpu pada aksi persahabatan sahaja,” katanya.

  Kata Jamal lagi, peluang pasukan negara masih ada sekiranya pemain dapat mencatat kemenangan pada baki perlawanan selepas ini dan berharap pemain tidak putus asa sebaliknya bangkit membuktikan kebolehan sebenar.

  “Pemain naturalisasi juga perlu lebih berkesan dengan membentuk gandingan mantap dengan pemain tempatan. Justeru, jurulatih Tan Cheng Hoe perlu mencari formula ampuh untuk menghasilkan pasukan terbaik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *