Mujur FAMA tolong jual

Mujur FAMA tolong jual

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar Mohd Imran Izzad 

PEKAN: “Kami pekebun pasti menanggung kerugian besar jika Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang tidak membantu pasarkan labu manis yang kini sedang berada di kemuncak pengeluaran.

  “Terdapat seramai 145 pekebun di daerah ini, setiap mereka menghasilkan antara 10 hingga 25 tan buah labu pada musim kali ini,” kata pekebun, Mohd Nor Ali, 63.

Pengarah FAMA Pahang Noh Nik Wan (tengah) meninjau buah labu hasil pekebun di Kampung Serun dan Kampung Merchong.

  Menurutnya, dia dan pekebun lain amat berterima kasih pada FAMA yang hampir setiap tahun membantu memasarkan hasil pertanian pekebun di Kampung Pandan, Kampung Serun dan Kampung Merchong, di sini.

  Katanya, sistem harga semasa yang ditawarkan dapat diterima semua pekebun kerana masih memberi keuntungan.

  “Di peringkat awal sebelum penanaman dilakukan, pegawai FAMA daerah Pekan bukan saja beri nasihat dan atur jadual menanam, malah agensi itu turut menyediakan bantuan benih.

  “Sebagai peserta pekebun ladang kontrak pemasaran kami turut dibekalkan dengan bekas jaring hijau untuk mengisi buah labu, setiap satu diisi dengan buah seberat 20 kilogram (kg) yang akan dipindahkan ke lori.

  “Pada musim kali ini hampir semua 145 pekebun labu memasarkan hasil kepada FAMA berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang menyebabkan pemborong luar tidak dapat datang membeli buah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

  Mohd Nor yang mengusahakan kebun seluas dua hektar di Kampung Pandan berkata, musim kali ini, sebanyak 20 tan hasil labu dipasarkan kepada FAMA mengikut harga semasa yang menguntungkan

  Bagi Azlina Abu Bakar, 34 yang mengusahakan tanaman labu manis juga seluas lebih dua hektar, tanpa bantuan FAMA dia mungkin menanggung kerugian setiap tahun.

  “Musim kali ini saya mampu mengeluarkan hasil kira-kira 25 tan metrik buah labu, hampir semua buah dijual kepada FAMA pada harga semasa yang menguntungkan,” katanya yang musim kedua menanam labu manis.

  Sementara itu Pengarah FAMA Pahang, Noh Nik Wan berkata, musim kali ini pihaknya membantu memasarkan lebih 300 tan metrik labu manis hasil tanaman 145 pekebun di tiga kampung di daerah ini.

  “Pusat Khidmat Pemasaran FAMA Kuantan menerima 22 tan buah labu seminggu untuk dipasarkan kepada peruncit termasuk pemborong dalam dan luar Pahang.

  “Aktiviti pemasaran buah labu di daerah ini dijangka berterusan selagi mendapat permintaan daripada pekebun kerana program tanaman pokok berkenaan dilakukan secara berperingkat bagi mengelak berlaku lambakan buah dalam satu masa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *