Padah merempit waktu PKPD

Padah merempit waktu PKPD

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar Mohd Imrn Izzad 

KUANTAN: Mungkin kerana gian merempit, segelintir penduduk di daerah ini tidak mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) demi mencari ‘kepuasan’ di jalan raya.

  Akibatnya, seramai 60 individu yang kebanyakannya mat rempit, dikompaun atas kesalahan keluar tanpa sebab dibenarkan sejak pelaksanaan PKP 24 Mei lalu sehingga kelmarin.   Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kebanyakan individu yang dikompaun itu terdiri daripada penunggang motosikal yang terbabit dengan aktiviti merempit, manakala sebahagian lagi didapati gagal memberi penjelasan munasabah tujuan mereka berada di luar ketika ditahan pihak berkuasa.  “Sepanjang PKPD bermula sehingga kelmarin di daerah ini, jumlah keseluruhan individu yang dikompaun ialah seramai 98 orang dan 60 daripada mereka atas kesalahan keluar tanpa sebab.

  “Daerah ini melaksanakan PKPD bermula 24 Mei hingga esok dan orang ramai perlu berada di rumah. Mereka hanya boleh keluar untuk urusan yang dibenarkan sahaja namun kita dapati masih ada yang terus berdegil,” katanya, di sini, semalam.

  Mohamad Noor bagaimanapun berkata, secara keseluruhannya pematuhan orang ramai terhadap SOP agak memuaskan pada tahap 98 peratus ketika ini.

  “Saya amat berharap pematuhan itu dapat terus ditingkatkan dan orang ramai dapat terus mematuhi SOP bagi membendung peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang agak membimbangkan ketika ini.

  “Ibu bapa juga perlu lebih bertanggungjawab memantau aktiviti anak masing-masing dengan memastikan mereka berada di rumah dan tidak keluar tanpa tujuan,” katanya.

  Dalam perkembangan lain, Mohamad Noor berkata, sejak perlaksanaan PKPD, kadar kejadian jenayah di daerah ini terkawal dan menunjukan penurunan kira-kira 20 peratus.

  “Bagaimanapun katanya,  masih terdapat kes curi dan pecah rumah dilaporkan berlaku dalam tempoh PKPD ini.

  “Kita (polis) akan terus menjalankan aktiviti pencegahan dalam memastikan kegiatan jenayah di daerah ini dapat dikawal sepenuhnya, kerjasama masyarakat diperlukan dalam menyalurkan maklumat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *