COVID-19 ragut tiga lagi nyawa di Pahang

COVID-19 ragut tiga lagi nyawa di Pahang

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Sebanyak tiga lagi kes kematian akibat jangkitan COVID-19 dicatatkan di Pahang hari ini menjadikan jumlah kematian terkumpul di negeri ini sebanyak 76 kes semuanya. 

  Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, ketiga-tiga mangsa terdiri adalah lelaki berusia antara 59 hingga 81 tahun dari tiga daerah di negeri ini.

  “Kes kematian ke-74 membabitkan seorang lelaki Melayu berusia 60 tahun dari Taman Permatang Syahbandar, Jengka, Maran, manakala kes kematian ke-75 ialah lelaki berbangsa Melayu, berusia 59 tahun dari Jalan Seri Kemunting, Tanah Putih, Kuantan.

  “Kes kematian ke-76 pula membabitkan seorang lelaki Cina berusia 81 tahun dari Kampung Baru Kemayan, Bera,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

  Sementara itu, beliau berkata, sehingga jam 5 petang tadi, sebanyak 155 kes baru dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Pahang mencecah ke angka 10,726 kes. 

  “Daripada 155 kes baru yang didaftarkan hari ini, 91 kes membabitkan rakyat tempatan, manakala 64 kes lagi warga asing. Selain itu, sebanyak 122 kes adalah jangkitan tempatan, tiga kes jangkitan Import B (tiga kes dari Perak) dan 30 kes tahanan DTI (Depoh Tahanan Imigresen).

  “Sebanyak 63 kes diperoleh daripada saringan kluster, kontak rapat (65 saringan), bergejala (12 saringan), bersasar (lima saringan) dan 10 saringan pekerjaan,” katanya.

  Menurutnya, semua  daerah mencatatkan pertambahan kes dengan yang tertinggi dicatatkan di Bera (45 kes), diikuti Kuantan (44 kes), Bentong (43 kes), Maran (lima kes) dan Raub (empat kes).

  “Temerloh, Pekan dan Rompin pula masing-masing mencatatkan tiga kes; Lipis dan Cameron Highlands masing-masing dua kes dan Jerantut (satu kes),” katanya.

  Tambahnya, sehingga jam 12 tengahari tadi, sebanyak 1,180 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan hospital dan enam Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *