COVID-19: SASMEC @IIUM sedia program vaksinasi untuk golongan pesakit

COVID-19: SASMEC @IIUM sedia program vaksinasi untuk golongan pesakit

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pix Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM (SASMEC @IIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kini memasuki fasa kedua program vaksinasi COVID-19. 

  Fasa kedua itu yang bermula 1 Jun lalu, kendalikan Unit Pencegahan dan Kawalan Jangkitan bertempat di Pusat Penjagaan Harian Perubatan, SASMEC @IIUM, di sini.

KUANTAN..Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM (SASMEC @IIUM) menyediakan vaksinasi COVID-19 di Pusat Penjagaan Harian Perubatan, SASMEC @IIUM.

  Pegawai Perubatan Unit Pengurusan Klinikal SASMEC @IIUM, Dr Mohamad Fadhi Azmi berkata, fasa kedua lebih memfokuskan kepada golongan pesakit yang sedang menerima rawatan di SASMEC @IIUM. 

  “Sebanyak 12,000 data pesakit dihantar ke KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang bagi tujuan saringan pesakit yang layak untuk menerima vaksin.

KUANTAN..mereka yang layak mendapatkan vaksinasi COVID-19 mendaftar di Pusat Penjagaan Harian Perubatan, SASMEC @IIUM.

  “Daripada jumlah itu, seramai 1,600 pesakit disenarai pendek untuk menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech secara berkala bermula 1 Jun lalu dan dijangka berakhir pada penghujung Julai depan,” katanya di sini, semalam.

  Menurutnya, golongan pesakit yang mempunyai penyakit kritikal seperti kanser, kencing manis dan tekanan darah tinggi turut disaring untuk menerima suntikan vaksin.  

  “Keutamaan diberikan kepada pesakit berisiko tinggi kerana kadar kebolehan jangkitan pada mereka lebih tinggi selain untuk mengurangkan risiko kematian akibat COVID-19,” katanya.

  Beliau berkata, proses pemilihan serta penyaringan pesakit dilakukan dengan teliti bagi memastikan golongan berkenaan mematuhi kriteria ditetapkan KKM. 

  “Ini kali pertama kali kami diberi tanggungjawab mengendalikan pemberian vaksinasi COVID-19 kepada pesakit. Sebelum ini hanya membabitkan pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan sahaja,” katanya.

  Dr Mohamad Fadhi berkata, sebagai antara pusat vaksinasi COVID-19, pihaknya bersedia berdepan apa sahaja kemungkinan bagi memastikan kesejahteraan kakitangan dan orang awam terjamin.

  Pesakit, Robiah Ali berkata, dia tidak menyangka SASMEC @IIUM memberi vaksin kepada pesakit hospital terpilih sekali gus tidak perlu menunggu lama untuk divaksinasi.

  “Saya bersyukur kerana kemudahan berkenaan jarang berlaku dan kami sebagai pesakit yang terpilih bersetuju menerima suntikan dos vaksin bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *