BPP COVID-19:  Rezeki tiba depan pintu

BPP COVID-19: Rezeki tiba depan pintu

Izzah Yusoff

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar Zulkepli Osman

TEMERLOH: Tiada yang lebih menggembirakan bagi 10 keluarga di Kampung Pamah Kasih yang terjejas pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, apabila nasib mereka terbela dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Dato’ Azmi Mat Ludin menyampaikan bantuan.

  Azmi berkata, beliau melakukan ziarah kasih kepada penduduk di kampung berkenaan bagi menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 dan sumbangan Aidilfitri kepada penduduk yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, dan golongan asnaf.

  “Saya pergi sendiri ke setiap rumah penerima. Selain menyampaikan BPP COVID-19, Inilah peluang yang terbaik untuk saya bertanya khabar sambil memberikan sumbangan bakul makanan kepada rumah penduduk yang saya ziarahi.

  “Ada antara mereka tinggal di rumah  agak usang dan sudah uzur. Insya-Allah, saya cuba bantu sebaik mungkin untuk membaik pulih rumah itu supaya penghuninya dapat duduk dengan selamat dan selesa,” katanya.

  Menurutnya, program ziarah itu mendapat kebenaran khas daripada Ketua Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin.

  “Saya bersama rombongan juga mengambil kesempatan mengedarkan borang pendaftaran vaksin COVID-19 kepada penduduk di kampung berkenaan sebagai usaha membantu dan menggalakkan rakyat negeri ini mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin,” katanya yang turut diiringi Penghulu Mukim Perak 1, Khalid Hussein dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Pamah Kasih, Mohd Fozi Hasan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *