COVID-19: Kerajaan Pahang lega makin ramai daftar untuk divaksin

COVID-19: Kerajaan Pahang lega makin ramai daftar untuk divaksin

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: Kerajaan Pahang berasa lega dan berterima kasih kepada rakyat negeri ini yang semakin sedar mengenai kepentingan menerima suntikan vaksin COVID-19.

  Perkara ini diterjemahkan menerusi jumlah pendaftaran di aplikasi MySejahtera yang kini mencecah 43.3 peratus berbanding 39.6 peratus, minggu lalu.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peningkatan itu membuktikan rakyat Pahang menyahut rayuan dan saranan kerajaan negeri untuk mendaftarkan diri bagi menerima suntikan vaksin.

  “Terima kasih kepada rakyat Pahang atas kerjasama mengambil peluang untuk mendaftar bagi menerima suntikan vaksin. Saya bersyukur kerana ada peningkatan pada peratusan pendaftaran di negeri ini menerusi aplikasi MySejahtera. 

.  “Namun, peratusan ini masih perlu ditingkatkan lagi daripada semasa ke semasa sehingga mencapai sasaran 80 peratus rakyat Pahang mendaftar, seterusnya menerima suntikan vaksin masing-masing,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau, hari ini.

  Semalam, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dilaporkan berkata, jumlah pendaftaran untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pahang menyaksikan peningkatan hampir 100,000 individu dalam tempoh seminggu.

  Katanya, banyak kawasan pedalaman tiada liputan telefon menyebabkan masyarakat tidak berdaftar melalui MySejahtera, namun inisiatif diambil pejabat daerah, sukarelawan, pemimpin masyarakat termasuk wakil rakyat membantu kepada peningkatan jumlah pendaftaran di Pahang.

  Pertambahan jumlah pendaftaran itu juga, katanya, dapat membantu Pahang menerima bilangan vaksin lebih banyak berbanding sebelum ini.

  Pahang menyasarkan sebanyak 1.2 juta individu yang berdaftar dengan MySejahtera untuk menerima suntikan vaksin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *