Penduduk Jaya Gading, Gebeng tolong patuh PKPD

Penduduk Jaya Gading, Gebeng tolong patuh PKPD

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kawalan di tiga lokaliti di Jaya Gading dan kawasan Perindustrian Gebeng, di sini, diperketatkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 21 Jun ini.

  Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, tiga lokaliti itu ialah di Kampung Jaya Gading, sebahagian Kampung Seri Damai dan Bandar Baru Jaya Gading.

  Katanya, sekatan jalan raya (SJR), pemasangan kawat duri dan meletakkan batu halangan akan dilaksanakan bagi memastikan penduduk mematuhi arahan yang ditetapkan sepanjang tempoh PKPD.

  “Kita juga akan melakukan pemantauan di kawasan terbabit dari semasa ke semasa sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD,” katanya, hari ini.

  Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan semalam, memaklumkan pelaksanaan PKPD itu berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di lokasi terbabit.

  Lokaliti Jaya Gading merekodkan 44 kes positif hasil ujian saringan terhadap 466 penduduk dengan kadar positif 9.4 peratus.

  Sebanyak 56 kes positif pula direkodkan dengan kadar positif 1.3 peratus di kawasan Perindustrian Gebeng.

  Sementara itu, PKPD di tujuh mukim dalam daerah Kuantan iaitu Beserah, Kuala Kuantan 1 dan 2, Penor, Sungai Karang, Ulu Kuantan serta Ulu Lepar yang bermula 24 Mei lalu, ditamatkan hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *