COVID-19: Dua kluster baru dikesan, dua kematian direkodkan

COVID-19: Dua kluster baru dikesan, dua kematian direkodkan

Izzah Yusoff
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar hiasan

KUANTAN: Sebanyak dua lagi kluster baharu COVID 19 dikesan di Pahang hari ini.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang melaporkan, dua kluster terbabit ialah Kluster Rantau Kenanga di Felda Jengka dan Kluster Jalan Sri Jaafar di Bentong.
“Kluster Rantau Kenanga bermula apabila satu kes dilaporkan pada 8 Jun iaitu membabitkan pergerakan rentas negeri antara Maran, Bera dan Hilir Perak yang mana berlaku aktiviti menziarahi keluarga.


“Pada 24 Mei, kes indeks bersama ahli keluarga telah datang berkunjung ke Felda Kenanga 7 untuk menziarahi ahli keluarga yang sakit di mana berlaku pertemuan empat keluarga ketika berada di lokaliti berkenaan. Seramai 69 individu disaring dan 39 kes dikesan positif COVID 19,” kata JKN Pahang.
Tambahnya, Kluster Jalan Sri Jaafar bermula dengan satu kes dilaporkan pada 24 Mei lalu di Bentong.
“Kes ini disyaki berlakunya penularan wabak ketika kontak rapat generasi pertama kes indeks berada di situ. Kes indeks adalah seorang rakyat tempatan yang tinggal di Taman Bentong Makmur.
“Kes adalah seorang pelajar di sebuah institusi pendidikan di Kedah. Siasatan lanjut mendapati, kes sering menghabiskan masa bersama tujuh rakan rapat sejak pulang ke Bentong sehingga 15 Mei lalu.
“Empat daripada tujuh rakannya disahkan positif COVID 19. Seorang daripada mereka yang positif bekerja di sebuah jabatan dan menyebabkan berlakunya penularan.
“Seramai 155 individu disaring dan 32 dikesan positif COVID 19,” katanya.
Dalam perkembangan sama, JKN Pahang berkata, sebanyak 157 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 10,982 kes dan 252 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh daripada COVID 19 seramai 9441 di negeri ini.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memaklumkan terdapat dua kes kematian di Mukim Kuala Kuantan 2 di sini dan Mukim Pedah, Jerantut akibat jangkitan COVID 19 hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *