Jangan persoal pilihan jurulatih – Jamal Nasir

Jangan persoal pilihan jurulatih – Jamal Nasir

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Kuantan: Peminat bola sepak tempatan tidak seharusnya mempertikaikan tindakan jurulatih Tan Cheng Hoe membariskan 13 pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam  skuad Harimau Malaya pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

  Bekas pemain negara, Dato’ Jamal Nasir Ismail berkata, siapa dan dari mana pemain pasukan kebangsaan tidak seharusnya menjadi persoalan yang perlu dipertikaikan oleh peminat bola sepak setiap kali penyertaan skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa 

  Ini kerana, katanya, pemilihan pemain bergantung sepenuhnya daripada penilaian jawatankuasa diterajui jurulatih bertanggungjawab membentuk pasukan.

  “Meskipun 13 pemain pasukan JDT disenaraikan pada siri kelayakan itu, tidak timbul persoalan, sebaliknya ia membuktikan pasukan berkenaan (JDT) memiliki keistimewaan tersendiri terutama kelibat pemain berkualiti

  “Peminat perlu akur dengan keputusan jurulatih (Cheng Hoe) yang memiliki perancangan terbaik untuk pasukan Harimau Malaya,” katanya, di sini hari ini.

  Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan peminat bola sepak tempatan yang seolah mempertikaikan tindakan Cheng Hoe menggunakan 13 pemain pasukan JDT di Dubai.

  Menurutnya, ketika kegemilangan pasukan negara dipentas antarabangsa hingga layak melangkah ke Sukan Olimpik Munich 1972, kebanyakan pemain negara terdiri daripada pemain pasukan Selangor.

  “Selangor ketika itu pasukan yang hebat dengan membariskan ramai pemain terbaik negara, hampir sama dengan JDT yang kini begitu gah dipersada bola sepak tempatan.

  “Justeru, tidak mustahil pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kali ini menjadi kelebihan kepada pemain pasukan JDT untuk diberi tanggungjawab membawa cabaran skuad Harimau Malaya dan ia satu penghargaan buat pasukan itu selain boleh memberi sumbangan bermakna kepada negara,” katanya.

  Menyentuh peluang skuad Harimau Malaya pada perlawanan seterusnya selepas ini, Jamal Nasir berkata, peluang mencatat kemenangan masih terbuka sekiranya pemain turun dengan misi kemenangan selain memperbaiki beberapa kelemahan.

   Selepas memulakan saingan dengan kekalahan di tangan UAE, skuad negara akan meneruskan kempen kelayakan bertemu Vietnam dan Thailand pada 11 dan 15 Jun ini bagi memburu dua kedudukan teratas Kumpulan G untuk mara secara automatik ke Piala Asia dan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *