Maki, serang polis punya pasal, empat sekawan kena reman dan kompaun

Maki, serang polis punya pasal, empat sekawan kena reman dan kompaun

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar Mohd Imran Izzad 

BENTONG: Empat sekawan bukan sahaja dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 seorang, malah terpaksa merengkok dalam lokap kerana bertindak biadab melemparkan kata-kata kesat dan menyerang anggota polis ketika pemeriksaan dilakukan, semalam. 

  Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian di Taman Desa Damai di sini itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila empat lelaki tempatan dari kawasan perumahan berlainan sedang berkumpul tanpa penjarakan fizikal sambil dipercayai minum minuman beralkohol.

BENTONG..polis membuat Sekatan Jalan Raya (SJR) 
di Kampung Baru yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

  “Ketika pemeriksaan dijalankan, dua daripada mereka bertindak agresif dan melontarkan kata-kata kesat dan enggan memberi kerjasama dengan tidak mahu mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada polis.

  “Seorang daripada suspek juga cuba mencederakan seorang pegawai polis wanita di lokasi kejadian tetapi berjaya dihalang,” katanya di sini, hari ini.

  Menurut Zaiham, susulan kejadian itu empat lelaki terbabit berumur 20 hingga 28 tahun itu ditahan reman selama empat hari bermula semalam.

  “Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan dikompaun di bawah Peraturan 17 (1) Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021,” katanya.

  Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihak polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang masih tidak mematuhi SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

  “Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong mengucapkan terima kasih kepada orang ramai khususnya dalam pentadbiran polis daerah Bentong kerana sentiasa menyalurkan maklumat dan memberi kerjasama dalam usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *