Rezeki tembikai besarkan sembilan anak

Rezeki tembikai besarkan sembilan anak

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: “Dengan hasil jualan tembikai ini saya membesarkan sembilan anak, sejak lebih 40 tahun lalu.

 “Usaha saya kini diteruskan dua anak lelaki yang mengusahakan tanaman tembikai di Kampung Ubai,” kata warga emas, Rapiah Husin, 69.

  Menurutnya, pengalaman menanam tembikai dikongsi dengan dua anaknya yang kini sepenuh masa terbabit dengan pertanian secara komersil sejak beberapa tahun lalu.

KUANTAN..Rapiah Husin dan anaknya, Husaini Abdullah bersama hasil tembikai jenis boci kebun mereka di Kampung Ubai.

  Katanya, walaupun dia kini tidak lagi menanam tembikai kerana faktor usia dan kesihatan, semangat terhadap projek pertanian tetap terus bercambah dalam dirinya.

  “Saya kini hanya membantu menjual embikai di tepi Jalan Kuantan-Pekan, dekat Kampung Ubai. 

  “Saya turut membantu aktiviti mengawinkan bunga tembikai jenis boci bagi menghasilkan buah yang berkualiti,” kata nenek kepada lapan cucu itu.

   Beliau berkata, mengusahakan tanaman tembikai kini lebih mudah dan cepat berbanding sebelum ini kerana semua aktiviti dilakukan menggunakan jentera selain peralatan moden lain. 

KUANTAN..Rapiah Husin sentiasa berkongsi pengalaman dengan anaknya, Husaini Abdullah yang mengusahakan tanaman tembikai jenis boci kebun mereka di Kampung Ubai

  Oleh itu, katanya, kebun tidak menjadi masalah untuk mengusahakan kebun yang luas, setiap tahun.

  Rapiah berkata, dia gembira melihat dua anaknya mengikut jejaknya mengusahakan tanaman tembikai dan labu manis.

  “Saya juga berbangga melihat ramai generasi muda di Kampung Ubai terbabit dalam sektor pertanian, kebanyakan mereka mengikut jejak ibu bapa masing-masing yang sebelum ini mengusahakan tanaman tembikai.

  “Tembikai begitu sinonim dengan Kampung Ubai, produk berkenaan dianggap istimewa kerana kualitinya,” katanya yang sentiasa mendapat sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang.

  Bagi anaknya, Husaini Abdullah, 44, semangat pertanian yang ada dalam diri ibunya kini turun kepadanya. 

  Malah, katanya, dia sanggup melepaskan jawatan dengan universiti tempatan semata-mata untuk memberi sepenuh tumpuan pada aktiviti bercucuk tanam.

  “Selain tembikai boci, saya juga menanam labu manis dan  ia dijalankan sepanjang tahun. Pendapatan diterima memang berbaloi walaupun banyak cabaran.

  “Antara cabaran yang sedang dilalui kini apabila kerajaan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan aktiviti jualan hasil tanaman,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *