60 bumbung rumah di Felda Lakum terbang dilanda ribut

60 bumbung rumah di Felda Lakum terbang dilanda ribut

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

TEMERLOH: “Selama 25 tahun menetap di Felda Lakum, Lanchang, ini kali pertama rumah saya dilanda ribut kira-kira 15 minit.

  “Keseluruhan atap zink ruang tamu dan sebahagian dapur rumah saya diterbangkan angin kencang yang menyebabkan kerugian lebih RM20,000,” kata Ismail Adnan, 70.

TEMERLOH..Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Baitulmal dan Operasi MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (dua dari kiri) menyampaikan bantuan bencana kepada Ismail Adnan di Felda Lakum, Lanchang.

  Dalam kejadian pada 5 petang, Ahad lalu, itu menyebabkan 60 rumah peneroka Felda Lakum mengalami kerosakan bumbung.

  Kejadian sama berlaku di Kampung Belengu, pada Isnin lalu, yang menyebabkan enam rumah mengalami kerosakan pada bahagian atap.

  Ismail berkata, semua barangan dan perabut turut musnah selepas hujan masuk ke dalam rumah. 

TEMERLOH..keadaan rumah mangsa ribut dan angin kencang di Felda Lakum, Lanchangj

  “Walaupun terpaksa menanggung kerugian besar namun saya bersyukur tiada kecederaan menimpa ahli keluarga walaupun semua atap diterbangkan angin kencang. 

  “Saya reda dengan apa yang berlaku dan yakin pasti ada hikmahnya,” katanya.

  Beliau berkata demikian selepas menerima bantuan bencana daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Baitulmal dan Operasi MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman.

  Sementara itu, Dr Asmadi berkata, MUIP menyediakan peruntukan RM23,500 diagihkan kepada 66 mangsa ribut.

  Menurutnya, setiap mangsa menerima bantuan antara RM200 hingga RM1,500 tunai, bergantung pada jumlah kerugian yang dialami. 

  “Bantuan bencana yang disediakan MUIP diharap dapat meringankan beban mangsa bagi menampung kos baik pulih rumah yang rosak masing-masing,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *