Jual minyak masak harga tinggi, dua peruncit kena notis

Jual minyak masak harga tinggi, dua peruncit kena notis

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: Tindakan dua peruncit di daerah ini menjual minyak masak dalam botol pada harga tinggi mengundang padah apabila dikenakan notis oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang.

KUANTAN. Dua anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang melakukan tinjauan harga di premis perniagaan.

  Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pahang, Normaswari Nordin berkata. notis itu dikeluarkan kerana peruncit terbabit menjual harga minyak masak botol lima kilogram (kg), masing-masing RM32.65 dan RM33.59 berdasarkan pemeriksaan minggu ini.

  Katanya, notis yang dikeluarkan terhadap peruncit itu bagi mendapatkan perincian harga jualan dan harga kos barangan untuk tujuan siasatan lanjut sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau tidak.

  “Walaupun harga jualan minyak masak botol lima kg tidak dikawal oleh pihak kerajaan, peniaga masih tertakluk kepada perundangan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

  “Jika ada peniaga yang melakukan kesalahan itu, mereka boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana mengambil keuntungan tidak munasabah atau mencatut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

  Namun, beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan itu juga mendapati masih ada peruncit yang menjual minyak masak botol lima kg serendah RM23.64 manakala paling mahal RM33.59.

  “Harga purata minyak botol lima kilogram pula dijual pada RM29.57,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *