COVID-19: Tiga warga emas temui ajal di Pahang hari ini

COVID-19: Tiga warga emas temui ajal di Pahang hari ini

Izzah Yusoff

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 di Pahang kini meningkat kepada 83 kes apabila tiga warga emas Melayu berusia 70 hingga 78 tahun, dilaporkan meninggal dunia, hari ini.

  Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, kes kematian ke-81 membabitkan seorang lelaki berbangsa Melayu berusia 77 tahun dari Taman Sri Kerinau, Paya Pulai, Temerloh.

  “Kes kematian ke-82 pula seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun dari Rumah Murah Batu 1, Jalan Tras, Bentong, manakala kes kematian ke-83 warga emas wanita berusia 70 tahun dari Felda Bukit Sagu, Kuantan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

  Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 112 kes baru direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di negeri ini sebanyak 11,326 kes.

  “Daripada 112 kes baru itu, 109 kes terdiri daripada rakyat tempatan manakala tiga lagi warga asing. Sebanyak 108 kes adalah jangkitan tempatan, empat kes jangkitan Import B (dua Kelantan, satu Selangor dan satu Negeri Sembilan), 46 kes diperoleh daripada saringan kluster, 58 saringan kontak rapat, lima saringan bergejala satu saringan kendiri dan dua saringan bersasar.

  “Lapan daerah mencatatkan pertambahan dengan tertinggi dicatatkan di Kuantan (53 kes), diikuti Jerantut (21 kes), Temerloh (13 kes), Pekan (sembilan kes), Bentong (enam kes), Maran (lima kes), Bera (empat kes) dan Lipis (satu kes),” katanya.

  Beliau berkata, sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 879 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan hospital di negeri ini dan enam Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID- 19 (PKRC).

  “Daripada jumlah ini, terdapat 24 kes COVID-19 positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 15 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan sembilan kes di ICU Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh dengan 11 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *