FAMA bantu pasarkan 1,500kg keledek

FAMA bantu pasarkan 1,500kg keledek

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic/video Mohd Imran Izzad 

PEKAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang  membantu memasarkan 1,500 kilogram keledek hasil tanaman pekebun Orang Asli di Kampung Air Hitam, di sini.

PEKAN..proses mengred keledek sebelum dipasarkan kepada FAMA Pahang di Kampung Air Hitam.

   Pengarahnya Noh Nik Wan berkata, ini kali pertama FAMA membantu memasarkan hasil pertanian itu selepas diminta berbuat demikian oleh pekebun terbabit yang mengusahakan tanaman itu di atas tanah seluas 0.8 hektar.

  Menurutnya, FAMA perlu membantu memasarkan keledek keluaran pekebun terbabit bagi mengelak pekebun menanggung kerugian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

PEKAN..Pegawai FAMA Daerah Pekan, Noor Hasbah Omar memantau proses memilih keledek untuk dipasarkan kepada FAMA Pahang di Kampung Air Hitam.

  “Kita menggunakan sistem harga semasa bagi pasaran keledek yang dibekalkan selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak. Ia membabitkan tanaman keledek jenis putih madu dan oren madu atau jepun yang mengambil kira-kira tiga bulan untuk matang,” katanya, di sini, hari ini.

PEKAN..FAMA Pahang membantu memasarkan 1,500 kilogram keledek hasil pekebun Orang Asli di Kampung Air Hitam.

  Beliau berkata, aktiviti pemasaran diuruskan oleh Pengurus Pusat Khidmat Pemasaran FAMA Kuantan, Faris Abdullah yang dipantau oleh Pegawai FAMA Daerah Pekan, Noor Hasbah Omar.

  Noh berkata, pihaknya akan terus berusaha membantu pekebun terutama membabitkan aktiviti pemasaran dalam memastikan mereka tidak berhadapan masalah hingga menyebabkan berlaku kerugian.

  Pekebun, Amran Juara, 41, berkata dia berterima kasih pada FAMA yang tampil membantu memasarkan sebahagian hasil tanaman keledeknya.

  “Ini kali pertama saya dan empat saudara mengusahakan tanaman keledek dalam kawasan kebun kelapa sawit dengan modal RM3,500.

  “Selepas ini kami mungkin mengusahakan tanaman labu manis yang difahamkan mendapat permintaan baik pengguna,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *